DHAKA: Polis Bangladesh berjaya menahan pemilik kilang memproses makanan dan minuman yang terbakar dalam satu kejadian sehingga mengorbankan 52 orang.
Menurut polis, pemilik kilang itu ditahan bersama tujuh lagi individu lain selepas dilaporkan kanak-kanak semuda usia 11 tahun turut bekerja di premis tersebut.
Polis berkata, Abu Hashem dan empat anak lelakinya merupakan antara lapan yang ditahan berhubung kejadian kebakaran itu yang berlaku kelmarin.
Satu siasatan berasingan juga dilancarkan berhubung isu penggunaan buruh kanak-kanak di kilang makanan.
Ketua polis daerah Narayanganj, Jayedul Alam berkata, pihaknya mendapati pintu masuk kilang tersebut dikunci ketika kebakaran.
Malah, katanya, kilang memproses makanan dan minuman juga telah melanggar beberapa peraturan keselamatan.
“Ini merupakan pembunuhan yang disengajakan,” katanya kepada AFP.
Menurut Abu, kesemua lapan individu yang ditahan bakal berdepan tuduhan membunuh. – AFP










