DUBLIN: Republik Ireland dilaporkan melonggarkan sekatan Covid-19 melibatkan perjalanan antarabangsa.
Ini secara tidak langsung bermakna individu yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak perlu lagi menjalani proses kuarantin.
Lapor BBC, Ireland semalam mula menggunakan sistem Sijil Digital Covid-19 yang sudah diguna pakai di seluruh Kesatuan Eropah (EU).
Sijil itu mempunyai kod QR yang mempamerkan sama ada pengunjung sudah divaksin penuh atau baharu pulih daripada jangkitan Covid-19 atau diuji negatif.
Peraturan kuarantin juga dilonggarkan bagi pengunjung dari United Kingdom (UK) yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 yang lengkap.
Proses kuarantin dan ujian saringan Covid-19 berkaitan perjalanan kini tidak lagi diperlukan bagi pengunjung yang tiba di Republik Ireland dari luar EU.
Perkara itu demikian selagi pengunjung dapat mengemukakan bukti vaksinasi sah atau dokumen bahawa mereka pulih sepenuhnya daripada Covid-19.
Malah, hanya pengunjung menerima suntikan vaksin Covid-19 yang diiktiraf oleh Agensi Perubatan Eropah (EMA) dibenarkan. – AGENSI










