YANGON: Pemimpin tertinggi junta Myanmar menegaskan hanya akan membenarkan pilihan raya baharu diadakan selepas situasi di negara itu pulih seperti biasa.
Pasukan maklumat junta itu memaklumkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan tanpa mendedahkan maklumat lanjut.
Jelas kenyataan itu, beberapa wakil dari ASEAN mengadakan rundingan dengan pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aun Hlaing.
Menurut kenyataan itu, Menteri Luar Kedua Brunei, Erywan Pehin Yusof bersama Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi mengadakan rundingan dengan Aung Hlaing.
“Pemimpin tertinggi junta memaklumkan hanya akan mengadakan pilihan raya baharu apabila situasi kembali normal,” jelas kenyataan itu.
Sebelum ini, junta tentera Myanmar memaklumkan akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh dua tahun.
ASEAN mengetuai usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis di Myanmar namun blok itu yang tidak dikenali dengan pengaruh diplomatik sehingga badan pemantau mempertikaikan keberkesanannya dalam mempengaruhi situasi di negara.
Pada April lalu, Aung Hlaing menghadiri sidang kemuncak ASEAN bagi membincangkan krisis di Myanmar.
Sidang kemuncak di Jakarta itu merupakan lawatan pertama Aung Hlaing ke luar negara sejak junta tentera melakukan rampasan kuasa dan tindakan kekerasan sehingga menyebabkan lebih 800 orang meninggal dunia.
Dalam sidang kemuncak itu, negara anggota ASEAN membangkitkan lima perkara yang antara lain menggesa menamatkan keganasan di Myanmar dan lawatan delegasi ASEAN ke Myanmar.
Bagaimanapun, pemimpin junta itu kemudian dalam satu wawancara di televisyen menyatakan Myanmar tidak bersedia lagi untuk melaksanakan cadangan tersebut. – AFP










