HONG KONG: Polis Hong Kong menahan seorang aktivis prodemokrasi terkenal, Chow Hang Tung pada acara ulang tahun ke-32 memperingati keganasan Dataran Tiananmen pada 1989.
Lapor BBC, Hang Tung merupakan Naib Pengerusi Hong Kong Alliance yang menganjurkan acara tahunan menyalakan lilin bagi memperingati mangsa tindakan ganas Beijing terhadap penunjuk perasaan demokrasi.
Beliau ditahan kerana menggalakkan acara berhimpun yang tidak mendapat kebenaran.
Penahanan itu dibuat selepas Hong Kong melarang acara menyalakan lilin yang berlangsung untuk tahun kedua, dengan mendakwa sekatan Covid-19.
Berdasarkan beberapa laporan media, aktivis hak asasi manusia itu ditahan oleh beberapa pegawai polis diluar pejabatnya pada awal pagi.
Sebelum penahanannya, Hang Tung yang juga merupakan peguam menerusi wawancara eksklusif BBC memberitahu beliau sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat penganjuran acara tersebut.
“Saya sedia ditahan, inilah Hong Kong yang sebenar.
“Jika anda berjuang untuk demokrasi dibawah rejim autokratik, penangkapan tidak dapat dielakkan.
“Biarlah mereka melakukan apa sahaja, saya sedia hadapi kesannya untuk berjuang bagi demokrasi,” katanya. – AGENSI










