30,000 jururawat mogok di New Zealand - Utusan Malaysia

30,000 jururawat mogok di New Zealand

JURURAWAT mengambil bahagian dalam mogok di sekitar jalan di Wellington, New Zealand. – NZNO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Kira-kira 30,000 jururawat di New Zealand meninggalkan tugas masing-masing untuk mengambil bahagian dalam mogok susulan kegagalan rundingan antara kesatuan dengan kerajaan berhubung tuntutan kenaikan gaji dan persekitaran kerja.

Lapor Reuters, ribuan jururawat berarak di sekitar jalanan dengan memegang sepanduk manakala yang lain berkumpul di taman dan luar pekarangan hospital di seluruh negara.

Mogok itu diadakan selepas Persatuan Jururawat New Zealand (NZNO) menolak kenaikan gaji sebanyak 1.4 peratus yang dicadangkan oleh Lembaga Kesihatan Daerah pada awal minggu ini.

Menurut kerajaan, pihaknya tidak mampu menunaikan tuntutan 17 peratus kenaikan gaji yang diminta jururawat namun berjanji akan terus mengadakan rundingan untuk mencari penyelesaian sewajarnya.

NZNO menerusi kenyataan memaklumkan, ramai jururawat mengadu tidak mendapat bayaran gaji yang setimpalnya dan mengalami keletihan kerana terpaksa bekerja lebih masa.

Jelas NZNO, keadaan jururawat menjadi semakin teruk dengan penularan pandemik Covid-19 di negara itu.

“Kadar gaji semasa sememangnya gagal menarik orang untuk menceburi kerjaya ini atau terus mengekalkan jururawat sedia ada,” jelas persatuan itu.

Dilaporkan, semua pembedahan kecil dan janji temu pesakit luar terpaksa dibatalkan akibat mogok tersebut.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berdepan kritikan kerana gagal menangani isu ketidaksamaan walaupun ekonomi negara itu semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

“Jururawat mempunyai peranan yang amat penting dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Jika mereka mogok maka sudah pastinya terdapat masalah besar yang harus ditangani dengan segera,” kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Bergaji, Dr. Julian Vyas kepada portal berita Newshub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya