MAHUVA: Sekurang-kurangnya 24 orang maut dan 96 lagi dilaporkan hilang selepas satu taufan ganas membadai bahagian barat India.
Keadaan itu menambah kesengsaraan jutaan penduduk India yang masih berdepan dengan krisis Covid-19 terburuk.
Ratusan ribu kediaman penduduk terputus bekalan elektrik selepas Tauktae melanda pesisir pantai Gujarat pada petang semalam.
Taufan itu merupakan antara ribut tropika besar di Laut Arab.
Tauktae yang membawa kelajuan angin sehingga 185 kilometer per jam dilaporkan menumbangkan pokok, tiang elektrik, menara telekomunikasi dan turut melanda kawasan pedalaman.
Taufan itu menyebabkan sebuah kapal bantuan yang digunakan di pelantar minyak tenggelam setelah dipukul ombak besar di pesisir pantai Mumbai sehingga 96 daripada 273 anak kapal hilang.
Kementerian Pertahanan memaklumkan sebanyak 177 orang berjaya diselamatkan dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dijangka berterusan walaupun berdepan dengan cuaca buruk.
Lebih 200,000 penduduk yang tinggal di kawasan berisiko bahaya juga sudah dipindahkan.
Pihak berkuasa Mumbai menutup lapangan terbang untuk beberapa jam dan menggesa orang ramai kekal berada di rumah ketika ombak besar melanda bandar tersebut.
Impak bencana
Cuaca buruk menyukarkan usaha menangani pandemik Covid-19 dan melumpuhkan lagi sistem kesihatan awam sedia ada negara ini.
Pihak berkuasa Mumbai memindahkan kira-kira 600 pesakit Covid-19 di hospital lapangan ke lokasi yang selamat ketika paras air laut meningkat setinggi tiga meter berhampiran pekan Diu.
Di Gujarat pula, semua pesakit Covid-19 yang berada di hospital kira-kira lima kilometer daripada pesisir pantai juga dipindahkan ke tempat selamat.
Menurut doktor, seorang pesakit Covid-19 meninggal dunia di bandar Mahuva selepas dia gagal dipindahkan sebelum taufan melanda.
Pihak berkuasa turut memberi jaminan bekalan elektrik tidak akan terganggu di hampir 400 hospital khas merawat pesakit Covid-19 dan 41 kilang yang menghasilkan oksigen di kawasan tersebut.
Selain itu, lebih 1,000 buah hospital di beberapa pekan juga menerima bantuan alat penjana kuasa, kata Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani.
Program vaksinasi Covid-19 di Mumbai dan Gujarat terpaksa dihentikan buat sementara waktu susulan taufan yang melanda. – AFP










