GEORGE TOWN: Cubaan menyeludup 700,000 liter diesel Euro 5 dianggarkan bernilai lebih RM5.43 juta berjaya digagalkan dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang di perairan Bagan Ajam, di sini, kelmarin.
Dalam operasi pihak berkuasa itu turut mendapati dua kapal tangki digunakan untuk tujuan penyeludupan bersama 22 kru warga tempatan dan asing dari Myanmar, Russia, Filipina dan Indonesia yang berada di atas kedua-dua kapal berkenaan.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan diambil hasil risikan berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal dalam keadaan bersauh di lokasi berkenaan.
“Susulan maklumat tersebut, satu Op Bersepadu segera digerakkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) negeri ini sebelum sebuah bot peronda Maritim Malaysia dihantar ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.
“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran,” katanya.
Keseluruhan nilai rampasan termasuk dua kapal tangki itu dianggarkan mencecah RM2.33 bilion sekali gus menjadikan kes ini antara tangkapan berprofil tinggi di perairan negara tahun ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM200,000 ke atas setiap vesel.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kastam 1967 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo,” katanya.
Beliau berkata, kesemua kru dan kapal yang ditahan dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










