Menicon labur RM1 bilion bina kilang di Kulim

Menicon labur RM1 bilion bina kilang di Kulim

EMILY Wong (empat dari kiri) dan wakil Menicon Co., Ltd, Hiroshi Suzuki bersama pengurusan tertinggi syarikat pada majlis pelancaran rangkaian kanta lekap Miru di The Starhill, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menicon Group, pengeluar kanta lekap terkemuka dari Jepun, memperkukuh kehadirannya di Malaysia menerusi pelaburan besar berjumlah RM1 bilion bagi pembinaan sebuah kemudahan pembuatan baharu di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Pelaburan yang telah diluluskan itu bakal menyaksikan pembinaan satu daripada tapak pembuatan Menicon yang paling canggih di peringkat global, mengintegrasikan operasi pengeluaran, logistik, pergudangan serta kawalan kualiti dalam satu ekosistem digital yang saling terhubung.

Langkah strategik ini juga bertujuan menyokong pengeluaran kanta lekap silikon hidrogel syarikat bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa dan tempatan.

Pegawai Eksekutif Ibu Pejabat Perniagaan Antarabangsa Menicon Co., Ltd, Remco Engelhart berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-75 syarikat tahun ini, pihaknya terus komited dalam menyampaikan penyelesaian penglihatan yang lebih baik menerusi inovasi teknologi.

“Melalui pelaburan ini dan pengenalan rangkaian produk seperti Miru, kami memperkenalkan pilihan yang memenuhi pelbagai gaya hidup sambil kekal setia kepada komitmen Menicon terhadap kualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran jenama itu di The Starhill, baru-baru ini.

Dalam pada itu, syarikat turut memperkenalkan rangkaian kanta lekap Miru di pasaran Malaysia yang merangkumi tiga varian utama iaitu Miru 1day Flat Pack, Miru 1day UpSide dan Miru 1 Month.

Sementara itu, Pengurus Besar Menicon Vision Care Malaysia, Emily Wong berkata, pengenalan siri tersebut adalah selari dengan peningkatan minat rakyat Malaysia terhadap produk penglihatan yang praktikal, selesa dan mudah dikendalikan untuk kegunaan harian.

“Rakyat Malaysia hari ini memainkan pelbagai peranan, daripada komitmen kerja hingga aktiviti kecergasan. Pengenalan Miru memberi lebih banyak pilihan mengikut gaya hidup dan keperluan masing-masing,” katanya.

Rangkaian Miru kini boleh didapati di kedai optik terpilih serta pakar penjagaan mata bertauliah di seluruh negara dengan harga runcit disyorkan bermula RM150 sehingga RM360.

Mengulas lanjut mengenai kemudahan di Kulim, projek berkenaan mencerminkan keyakinan Menicon terhadap ekosistem perindustrian di Malaysia yang stabil serta tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Langkah ini juga dijangka akan memacu pertumbuhan ekonomi setempat serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi peranti perubatan yang bernilai tinggi.

Dari segi penawaran produk, varian Miru 1day Flat Pack menonjol dengan reka bentuk pembungkusan paling nipis di dunia, yang bukan sahaja memudahkan penyimpanan dalam beg tangan atau kit perjalanan, malah meminimumkan risiko pencemaran permukaan kanta semasa dikendalikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×