NAYPIDAW: Penyair Myanmar Khet Thi yang lantang menyuarakan penentangan terhadap junta tentera menerusi karyanya dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan.
The Guardian melaporkan jasad lelaki berusia 45 tahun itu diserahkan kepada pihak keluarga, tetapi organ dalaman tubuhnya dikatakan tidak lengkap dan sempurna.
Sebelum kematiannya, penyair itu sempat memuat naik tulisan dalam Facebook menyindir junta tentera yang melakukan keganasan terhadap rakyat sendiri.
“Mereka menembak di kepala, tetapi mereka tidak tahu revolusi ada di hati,” tulisnya.
Isteri mendiang menceritakan mereka berdua dibawa soal siasat Sabtu lalu oleh tentera bersenjata dan polis di kota Shwebo, wilayah Sagaing.
“Saya disoal siasat termasuk suami. Mereka kata mendiang ada di tempat soal siasat tetapi hanya tubuhnya sahaja kembali selepas itu,” luahnya.
Sebelum itu, tentera Myanmar ada menghubunginya dan meminta menemui suaminya di Hospital Monywa.
“Saya ingatkan sebab patah lengan atau perkara seumpamanya, tetapi ketika sampai di sini, dia berada di bilik mayat dan organ dalamannya diambil,” jelasnya.










