Inilah ‘Aidilfitri’ kami - penduduk Gaza - Utusan Malaysia

Inilah ‘Aidilfitri’ kami – penduduk Gaza

PENDUDUK Palestin meraikan persetujuan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Penduduk Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza bersorak kegembiraan selepas Israel dan pergerakan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bagi menghentikan konflik keganasan yang berlaku.

Selepas pengumuman dibuat oleh kedua-dua pihak, barisan kepemimpinan Hamas menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan yang amat bermakna untuk penduduk Palestin.

“Ini adalah kejayaan untuk Palestin dan Hamas akan membantu memulihkan semua infrastruktur yang musnah di Gaza,” kata pemimpin kanan nombor dua Hamas, Khalil al-Hayya.

Gencatan senjata itu turut melibatkan kumpulan pejuang Jihad Islam yang bersetuju meletakkan senjata bagi mengelak konflik di Palestin menjadi semakin buruk.

Siri serangan tentera Zionis di Gaza sejak 10 Mei lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 232 penduduk Palestin maut, termasuk 65 kanak-kanak dan lebih 1,900 cedera.

Selain itu, konflik yang berlaku selama 11 hari juga menyebabkan banyak infrastruktur musnah, menyebabkan kira-kira 120,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal.

Tentera Zionis mendakwa Hamas dan Jihad Islam melancarkan sebanyak 4,300 roket ke Israel sepanjang konflik tercetus, namun kebanyakannya berjaya dipintas oleh sistem Dome of Rock.

 

Aidilfitri yang baru diraikan

Keputusan gencatan senjata yang diumumkan oleh kedua-dua pihak umpama ‘sambutan Aidilfitri yang baru diraikan’ oleh penduduk Gaza.

Hal ini kerana, konflik sudah mula tercetus sejak Ramadan pertama sebelum memuncak dan menyaksikan siri serangan tentera Zionis terhadap Gaza.

Ketika umat Islam membuat persiapan Aidilfitri, rejim Zionis melancarkan serangan roket yang menyebabkan 20 penduduk maut termasuk sembilan kanak-kanak.

Sebagai tanda berkabung, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan tiada sambutan Aidilfitri di Palestin untuk tahun ini.

SEORANG kanak-kanak bersama bapanya bersorak kegembiraan selepas Hamas mengumumkan gencatan senjata di Khan Yunis, Semenanjung Gaza, Palestin. – AFP

Penduduk yang gembira dengan pengumuman itu memenuhi jalan-jalan utama di seluruh Gaza sambil mengibarkan bendera Palestin.

Kebanyakannya mengucapkan syukur dan berharap konflik sama tidak berulang, walaupun kemungkinan itu adalah kecil.

“Kami berasa amat gembira, ini adalah kemenangan untuk semua Penduduk Palestin.

“Ini adalah Aidilfitri yang kami baru raikan,” laung penduduk ketika meraikan pengumuman berkenaan.

 

Kerjasama jayakan gencatan

Britain merupakan antara negara yang menyambut baik pengumuman gencatan senjata tersebut.

Setiausaha Luar United Kingdom (UK), Dominic Raab menyatakan, kedua-dua pihak iaitu Hamas dan Israel perlu menjadikan gencatan senjata itu berkesan dalam menangani konflik keganasan yang berlaku.

“Semua pihak terutamanya Israel dan hamas perlu bekerjasama dengan baik agar gencatan senjata yang dilakukan memberi kesan menyeluruh.

“Rakyat Britain sentiasa menyokong usaha yang membawa keamanan,” katanya dalam Twitter.

 

Peluang terbaik

Presiden AS, Joe Biden pula menyifatkan gencatan yang dicapai antara Hamas dan Israel sebagai ‘peluang terbaik’ untuk mengembalikan keamanan di Gaza.

“Saya percaya kita mempunyai peluang terbaik untuk mengembalikan keamanan dan saya komited untuk melaksanakannya,” ujarnya di White House.

Gencatan senjata itu merupakan inisiatif Mesir menerusi pentadbiran Presiden Abdel Fattah al-Sisi. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya