Junta tentera Myanmar bunuh 43 kanak-kanak - Utusan Malaysia

Junta tentera Myanmar bunuh 43 kanak-kanak

JUMLAH kematian di Myanmar merekodkan sebanyak 536 kes sejak junta tentera melakukan rampasan kuasa. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 YANGON: Sekurang-kurangnya 43 kanak-kanak dibunuh oleh junta tentera Myanmar sejak rampasan kuasa Februari lalu. 

Lapor BBC, angka itu didedahkan oleh kumpulan hak asasi Selamatkan Kanak-Kanak yang menyifatkan negara Asia Tenggara berada dalam situasi mimpi ngeri dengan mangsa termuda berumur enam tahun. 

Kumpulan pemantau tempatan mencatatkan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 536 orang. 

Saksi berkata, junta tentera menyerang orang ramai sesuka hati di kawasan jalan malah, beberapa penduduk dibunuh di rumah mereka sendiri. 

Keluarga kepada kanak-kanak berusia enam tahun, Khin Myo Chit menceritakan mangsa dibunuh oleh pihak polis semasa berlari ke arah ayahnya sewaktu rumah mereka digeledah di bandar Mandalay, hujung Mac lalu. 

Kakak mangsa, May Thu Sumaya, 25, berkata, anggota polis menendang pintu rumah sesuka hati. 

“Selepas pintu terbuka, mereka bertanya ayah saya sama ada terdapat orang lain di dalam rumah ini.

“Apabila ayah saya berkata tidak, mereka menuduhnya menipu dan mula menggeledah rumah. Ketika itulah adik saya berlari ke arah ayah dan mereka terus menembaknya,” luahnya. 

Laporan itu turut mendedahkan kes kematian remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai ditembak semasa berada di dalam rumahnya di Mandalay, sementara, remaja 13 tahun ditembak semasa bermain di kawasan jalan di Yangon. 

Kumpulan hak asasi turut memberi amaran bilangan kanak-kanak yang mengalami kecederaan semasa pertempuran turut meningkat dengan kes melibatkan bayi berusia setahun yang ditembak di bahagian mata menggunakan peluru getah. 

Jelasnya, kekejaman dan penindasan yang dilakukan itu boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental kanak-kanak kerana mereka menderita akibat kesakitan, tekanan dan kesedihan. 

“Kanak-kanak menjadi saksi terhadap insiden keganasan dan ketakutan. Ini jelas menunjukkan Myanmar bukan lagi tempat selamat bagi kanak-kanak,” jelasnya. 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN