UAE bina resort mewah di Aceh - Utusan Malaysia

UAE bina resort mewah di Aceh

PROJEK resort mewah bernilai jutaan dolar, dijangka dibina di daerah Aceh Singkil pada Mei depan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan membangunkan beberapa projek infrastruktur mega di Indonesia termasuk sebuah resort mewah bernilai jutaan dolar di bahagian barat wilayah Aceh. 

Berita mengenai pembangunan projek resort mewah itu disahkan oleh pegawai tertinggi UAE dan menteri Indonesia. 

Lapor Arab News, beberapa siri perjanjian perniagaan telah ditandatangani oleh kedua-dua negara ketika lawatan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Al-Mazroui ke Jakarta, baru-baru ini. 

Perjanjian tersebut merupakan sebahagian daripada projek bernilai AS$22.9 bilion (RM93.48 bilion) yang ditandatangani semasa lawatan Presiden, Joko Widodo (Jokowi) di Abu Dhabi pada Januari tahun lalu. 

Perjanjian pelaburan yang turut meliputi tenaga, infrastruktur dan perlombongan, dilihat sebagai yang terbesar dalam sejarah Indonesia. 

Projek resort mewah yang bernilai antara AS$300 juta hingga AS$500 juta (RM1.2 bilion hingga RM2.04 bilion) dijangka mula dibina di daerah Aceh Singkil pada Mei depan.

“Saya rasa dalam masa dua bulan, kita dapat melihat kemajuan projek ini di daerah Singkil,” kata Menteri Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan dalam satu sidang akhbar bersama Suhail.

Perjanjian projek itu ditandatangani oleh Gabenor Aceh, Nova Iriansyah dan Amine Abide yang merupakan Pengarah Eksekutif Murban Energy, sebuah syarikat UAE yang portfolio pelaburannya merangkumi pembangunan resort mewah di Maldives dan Seychelles.

Dalam pada itu, Suhail berkata, beberapa pulau yang terletak di luar pesisiran pantai utama Aceh, dikenal pasti sebagai lokasi pembangunan resort tersebut. 

“Semoga pasukan yang mengendalikan projek itu akan memuktamadkannya dan kemudian kita akan melangkah ke peringkat seterusnya untuk memeterai beberapa perjanjian tetap,” katanya. 

Duta Indonesia ke UAE, Husin Bagis dalam satu kenyataan menyatakan bahawa salah satu faktor membangunkan projek itu di Aceh adalah kerana perjalanan ke wilayah itu hanya mengambil masa kira-kira lima jam dari UAE menerusi penerbangan.

Menurut beliau, Abide telah melawat sembilan pulau di daerah Aceh Singkil yang disenarai pendek bagi projek tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya