Inflasi Mac 2026 meningkat 1.7 peratus, krisis tenaga dorong lonjakan kos pengangkutan

Inflasi Mac 2026 meningkat 1.7 peratus, krisis tenaga dorong lonjakan kos pengangkutan

PENINGKATAN kadar ini dipacu terutamanya oleh sektor pengangkutan yang berubah arah, mencatatkan kenaikan 1.6 peratus setelah merekodkan penurunan 0.7 peratus pada Februari 2026.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar inflasi Malaysia pada Mac 2026 meningkat sebanyak 1.7 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dengan mata indeks Harga Pengguna (IHP) melonjak kepada 136.4 daripada 134.1.

Peningkatan kadar ini dipacu terutamanya oleh sektor pengangkutan yang berubah arah, mencatatkan kenaikan 1.6 peratus setelah merekodkan penurunan 0.7 peratus pada Februari 2026.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perubahan ketara dalam kumpulan pengangkutan didorong secara langsung oleh impak krisis tenaga global yang bermula sejak penghujung Februari lalu.

“Krisis ini telah berlarutan dan melonjakkan harga minyak mentah dunia lebih 40 peratus sehingga melepasi angka AS$100 setong.

“Walaupun kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada paras RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), perbelanjaan subsidi dianggarkan melambung mencecah RM4 bilion setiap bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan telah mengumumkan pelarasan sementara terhadap had kelayakan BUDI95 iaitu daripada 300 liter diturunkan kepada 200 liter sebulan bermula April 2026 sehingga keadaan pasaran dunia stabil.

“Ini memandangkan purata harga pasaran RON95 sebenar telah meningkat tajam kepada RM3.16 seliter berbanding RM2.55 seliter sebulan sebelum itu.

“Peningkatan kos bahan api di pasaran global ini juga menjejaskan operasi beberapa syarikat penerbangan yang telah menyelaraskan caj tambahan pengangkutan.

“Ia menolak kos pengangkutan penumpang melalui udara untuk melonjak sebanyak 25.8 peratus pada bulan lalu.

Mohd Uzir berkata, kadar inflasi yang dicatatkan dipengaruhi oleh peningkatan harga dalam subkumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (7.0 peratus), insurans dan perkhidmatan kewangan (4.9 peratus) serta restoran dan perkhidmatan penginapan (2.6 peratus).

“Kumpulan makanan dan minuman yang mewakili wajaran terbesar (29.8 peratus) dalam IHP, terus menunjukkan inflasi positif sebanyak 1.1 peratus.

“Paras harga kelas sayur-sayuran terus merekodkan tren penyusutan yang memberangsangkan kepada negatif 4.9 peratus, hasil kejatuhan harga beberapa komoditi seperti bawang merah besar dan tomato,” ujarnya.

Beliau berkata, terdapat lapan buah negeri yang merekodkan inflasi melangkaui paras 1.7 peratus kebangsaan.

“Pahang memimpin senarai dengan paras tertinggi (2.5 peratus), diikuti rapat oleh Wilayah Persekutuan Labuan (2.4 peratus), serta Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur (masing-masing 2.2 peratus).

“Di peringkat antarabangsa, persekitaran inflasi negara (1.7 peratus) terbukti jauh lebih rendah dan stabil jika diukur berbanding tekanan harga di negara jiran serantau seperti Vietnam (4.7 peratus), Filipina (4.1 peratus), serta Indonesia (3.5 peratus),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN