ROM: Pelancong di Itali bakal merasai pengalaman makan malam mewah di menara yang mempunyai ketinggian 30 meter dengan menaiki teksi terbang.
Lapor Daily Mail, pelanggan turut boleh menikmati pemandangan hutan belantara yang menakjubkan.
Rekaan itu hasil kolaborasi antara syarikat penerbangan, EHang Holdings dan arkitek di Rom, Kumpulan Pereka Giancarlo Zema.
Setiap menara itu mempunyai ‘vertiport’ yang membenarkan pesawat tanpa pemandu mendarat di atas bumbung yang disokong oleh teknologi hijau.
Selepas menikmati hidangan makanan dengan panorama yang indah, kereta terbang itu akan menjemput pelanggan dan membawa mereka ke hotel berdekatan.
Menurut arkitek, rekaan unik di menara vertiport itu diinspirasikan oleh Baobab iaitu sejenis pokok tinggi di Afrika.
Setiap menara mempunyai kafe, bilik menunggu dan restoran panorama seluas 200 meter yang boleh diakses menggunakan lif.
Lokasi sebenar pembinaan menara futuristik itu belum diumumkan lagi dan pihak pemaju merancang pembinaan konsep sama di beberapa tempat di seluruh Eropah dan Asia Tenggara.










