DUBAI: Syarikat penerbangan Emirates mengarahkan kakitangannya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma atau menanggung kos untuk melakukan ujian saringan bagi membuktikan mereka tidak dijangkiti wabak tersebut.
Pengumuman ini secara tidak langsung memberi amaran bahawa pekerja yang gagal mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh menimbulkan masalah operasi syarikat.
Berdasarkan memo dalaman menerusi e-mel yang dilihat oleh Reuters, Emirates memaklumkan bermula 15 Mac ini, mana-mana anak kapal yang belum mendapat suntikan vaksin lagi harus menanggung kos ujian saringan yang sah selama tujuh hari untuk masuk bertugas.
“Beberapa negara mungkin mengenakan syarat kemasukan berbeza bagi individu sudah menerima vaksin dan yang belum lagi pada masa akan datang.
“Dengan mengambil maklum semua perkara ini, tenaga kerja yang sudah divaksin adalah penting bukan sahaja dari aspek kesihatan dan keselamatan tetapi bahagian operasi,” jelas memo itu.
Jelas memo itu lagi, mereka yang menunggu untuk menerima dos kedua vaksin, sudah berdaftar mengambil suntikan pertama, mempunyai alasan perubatan sah, dijangkiti atau telah dijangkiti dikecualikan.
Menurut seorang jurucakap Emirates, polisi itu melibatkan semua kakitangan syarikatnya yang bekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE).











