FBI geledah rumah suspek di Antioch - Utusan Malaysia

FBI geledah rumah suspek di Antioch

PASUKAN keselamatan menyerbu sebuah rumah di Antioch di Nashville selepas seorang suspek berusia 63 tahun dikaitkan dengan insiden letupan yang berlaku. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah di Nashville semalam ketika siasatan berhubung insiden letupan yang menggegarkan bandar itu pada pagi Krismas kelmarin diteruskan.

Operasi di Antioch itu dilakukan selepas media Amerika Syarikat (AS) melaporkan seorang suspek berusia 63 tahun yang dikenal pasti sebagai Anthony Quinn didakwa mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

Media tempatan juga melaporkan polis tidak menolak kemungkinan letupan itu dilakukan oleh pengebom berani mati, namun perkara tersebut masih belum disahkan setakat ini.

Letupan itu menyaksikan kira-kira 40 buah bangunan musnah dan sekurang-kurangnya tiga orang cedera.

Polis menyatakan letupan itu seperti disengajakan namun motif sebenar kejadian masih belum dikenal pasti, selain pasukan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut terlibat dalam siasatan tersebut.

Menurut jurucakap FBI, belum ada tangkapan dibuat namun maklumat yang diperoleh dalam kejadian itu menjurus kepada siasatan di rumah yang diserbu.

Pegawai FBI, Doug Korneski pula memaklumkan seramai 250 ejen, penganalisis dan kakitangan terbabit menyiasat kejadian itu. 

Datuk Bandar Tennessee, Bill Lee menerusi Twitternya menzahirkan rasa syukur kerana tidak orang terkorban dalam letupan tersebut.

Beliau turut melawat kawasan itu dan meminta Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat bagi membolehkan Persekutuan membantu memulihkan kerosakan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Lapor media, penduduk di kawasan kejiranan itu turut mengesan sebuah kenderaan yang dilaporkan diburu pihak berkuasa dan ia mirip kenderaan yang meletup di Nashville. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya