KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) menerima 99 aduan gangguan seksual setakat Jun sejak penubuhannya pada Mac 2024.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sepanjang penubuhan TAGS, sebanyak 80 aduan telah berjaya diselesaikan.
“Baki 19 aduan masih dalam proses. Seramai 30 anggota dilantik bagi membolehkan pendengaran aduan dilaksanakan.
“Kesemuan pendengaran itu dijalankan secara tertutup,” katanya ketika merasmikan Pejabat TAGS dan melancarkan Sistem e-TAGS di Dewan Srivijaya, Menara Aras Raya, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut Nancy, penubuhan TAGS mempunyai matlamat jelas iaitu melindungi mangsa serta menjadi satu platform selamat untuk mereka bercerita.
“Penubuhan Tribunal satu langkah penting dalam usaha memperkukuhkan perlindungan terhadap mangsa gangguan seksual serta mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bermaruah.
“Ia ditubuhkan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) berfungsi sebagai saluran alternatif kepada mahkamah sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual yang berlaku di Malaysia pada atau selepas 8 Mac 2024.
“Kerajaan menegaskan bahawa gangguan seksual merupakan isu hak, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, bukannya sekadar gurauan atau isu peribadi,” katanya.
Tambahnya, ramai mangsa masih takut untuk membuat laporan kerana menganggap kes mereka tidak serius atau tidak mampu melalui proses undang-undang yang panjang dan mahal.
“Masih ramai yang tidak menyedari bahawa gangguan seksual merangkumi gangguan lisan, bukan lisan, visual, isyarat dan juga fizikal,” katanya.
Selain itu, Nancy berkata, TAGS kini mengorak langkah lebih jauh dengan memperkenalkan sistem e-TAGS yang mula digunakan pada 1 Januari tahun ini bagi memudahkan proses pemfailan dan pengurusan aduan secara digital.
“Sistem pengurusan aduan elektronik itu membantu proses pemfailan, pengurusan, pendengaran dan penyimpanan rekod aduan secara lebih tersusun, cepat, mudah dan tanpa penggunaan kertas.
“Pembayaran fi aduan juga kini boleh dibuat secara dalam talian melalui gerbang iPayment JANM,” katanya.
Beliau berkata, TAGS telah memulakan operasi di Putrajaya pada Disember 2023 sebelum berpindah ke Menara Aras Raya, Kuala Lumpur pada 3 November 2025 bagi memudahkan akses orang ramai.
“Sekiranya sesuatu aduan berjaya dibuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian, TAGS boleh mengeluarkan award yang merangkumi permintaan maaf rasmi, penyiaran permohonan maaf, pampasan sehingga RM250,000 dan kewajipan menghadiri program yang bersesuaian,” katanya.
Nancy berkata, beliau berharap TAGS akan terus menjadi platform yang berkesan, mudah diakses dan diyakini rakyat dalam memberikan keadilan secara cepat, adil dan mesra kepada mangsa gangguan seksual.
“Pada masa sama, kita ingin membentuk budaya sifar toleransi terhadap gangguan seksual di tempat kerja, institusi pendidikan mahupun ruang awam serta memastikan setiap pihak bertanggungjawab atas tindakan mereka tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Mahkamah Tinggi pada 10 Jun lalu mengekalkan satu award atau keputusan TAGS bertarikh 1 Ogos 2024.
“Perkembangan itu mencerminkan keyakinan terhadap profesionalisme, ketelitian dan integriti tribunal berkenaan dalam mengendalikan aduan gangguan seksual secara bebas, adil serta berlandaskan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










