WASHINGTON: Donald Trump dan Joe Biden masing-masing terdesak melakukan pecutan saat akhir dengan meneruskan kempen terakhir mereka di beberapa negeri terpenting.
Calon dari Parti Republikan, Trump, 74 mengunjungi lima negeri taruhan, manakala pencabarnya, Biden, 77, berkempen di Pennsylvania.
Setakat ini, tinjauan pilihan raya kebangsaan menunjukkan Biden mendahului Trump, namun itu bukan penentu kepada beliau untuk bergelar Presiden AS yang baharu.
Selain itu, dianggarkan lebih 90 juta penduduk AS sudah mengundi awal dan angka itu dilihat mengatasi jumlah pengundi terlibat pada 2016.
Kempen politik Trump bermula dengan perhimpunan yang berlangsung dalam suasana dingin di Michigan, iaitu sebuah negeri yang sangat penting bagi Trump ketika beliau berusaha menentang Biden dari Parti Demokrat.
Trump yang cuba mengelak menjadi calon presiden pertama yang gagal mempertahankan kedudukannya bertungkus-lumus menyusun jadual kempennya di beberapa negeri utama termasuk di Iowa, Carolina Utara, Georgia dan Florida.
Trump sambil mengenakan topi merah simbolik parti Republikan melaungkan slogan Make America Great Again ketika berucap di hadapan orang ramai.
Laungan Trump disambut baik oleh penduduk yang turut menjawab ‘kami menyayangi anda’ dan seraya Trump membalas ‘saya juga menyayangi anda, jika tidak, saya tidak akan berdiri dalam cuaca sejuk ketika ini,’.
Selain itu, Trump meramalkan beliau akan mengulangi kemenangan pada 2016 di Michigan dan menegaskan usahanya untuk mewujudkan peluang pekerjaan lebih banyak di negeri tersebut.
“Kami akan menghidupkan semula industri kereta di Michigan. Masalah industri kereta di sini sudah selesai. Anda sudah tidak perlu risau lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Biden pula dilihat lebih bersahaja menamatkan siri kempennya apabila tinjauan pilihan raya kebangsaan menunjukkan calon Demokratik itu melebihi Trump sebanyak 51 peratus.
Ketika sibuk berkempen saat akhir, Biden mengecam tindakan penyokong Trump yang menghalang satu daripada bas pasukan kempennya di sebuah jalan raya Texas dan kejadian itu disahkan serta disiasat oleh FBI.
Video yang tular dalam Twitter menunjukkan beberapa trak mengibarkan bendera Trump di sekeliling bas penyokong Biden yang dalam perjalanan dari San Antonio ke Austin.
Trump turut memuat naik video tersebut dan mempertahankan tindakan penyokongnya.
“Pada pandangan saya, patriot itu tidak melakukan apa-apa kesalahan. Malah, FBI perlu menyiasat ancaman pengganas, golongan anarki dan kumpulan penghasut ANTIFA yang menghancurkan bandar demokrat kita,” ujarnya.
Sementara itu, pasukan kempen Demokratik menjelaskan bas yang membawa calon kongres iaitu Wendy Davis, terpaksa menghentikan perjalanan dan membatalkan dua acara yang dirancang serta sidang akhbar kerana bimbang dengan ancaman keselamatan.
“Kami tidak pernah lakukan sesuatu perkara seperti ini, sekurang-kurangnya kami tidak pernah mempunyai presiden yang menganggap kejadian itu sesuatu yang baik,” kata Biden kepada penyokong di Philadelphia.
Di New York dan New Jersey lalu lintas terhenti akibat dibanjiri penyokong Trump di lebuh raya utama tersebut. – AFP/Agensi










