London: Nama Sean Connery yang meninggal dunia kelmarin tidak asing lagi dalam dunia perfileman Hollywood, terutamanya dalam siri filem James Bond yang berjaya mengangkat namanya ke persada dunia.
Beliau mula berkecimpung dalam bidang perfileman pada 1957 menerusi watak sebagai pengganas dalam filem No Road Back.
Namanya mula melonjak naik sewaktu memegang watak sebagai pelakon pembantu dalam Hell Drivers iaitu filem triler mengenai pemandu lori yang dibintangi Stanley Bake dan Action of The Tiger yang diarahkan oleh Terence Young.
Era kegemilangan Connery mula tertulis pada usia 30 tahun apabila beliau terpilih membintangi filem pertama James Bond yang berjudul Dr. No.
Pelakon lagenda itu juga muncul dalam empat filem James Bond berturut-turut antara 1963 hingga 1967 iaitu From Russia with Love, Goldfinger, Thunderball dan You Only Live Twice.
Namanya mula dikenali khalayak penonton dan meraih populariti luar biasa sehingga membuka peluang kepadanya untuk berlakon dalam beberapa filem terkenal lain seperti Marnie dan The Hill.
Namun, Connery mula tidak selesa membawa watak 007 sehingga beliau membuat keputusan untuk tidak lagi tampil dalam siri filem penyiasatan tersebut dan wataknya dalam filem baharu Bond berjudul On Her Majesty’s Secret Service digantikan dengan aktor George Lazenby.
Walaubagaimanapun, aura Lazenby tidak sehebat Connery apabila filem Bond yang dibintanginya tidak mendapat sambutan.
Sehubungan itu, Connery sekali lagi ditawar tampil dalam filem baharu Bond menerusi Diamonds Are Forever pada 1971.
Pada 1988, Connery memenangi Anugerah Oscar menerusi lakonannya sebagai polis dalam filem The Untouchables.
Sementara itu, konflik dengan pengarah filem, Stephen Norrinton dan mengalami pengalaman memeritkan dalam The League of Extraordinary menyebabkan Connery akhirnya memutuskan untuk bersara dari dunia lakonan pada 2003.










