LEGAZPI, Filipina: Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban apabila Taufan Goni membadai Filipina awal pagi ini dan pihak berkuasa memberi amaran bahawa bencana alam itu boleh menyebabkan ‘malapetaka’.
Taufan paling kuat pada tahun ini itu melanda Pulau Catanduanes sebelum waktu subuh dengan membawa angin kencang sekuat 225 kilometer sejam (km/j) dan meningkat kepada 310 km/j menyebabkan bumbung rumah tercabut, pokok tumbang dan banjir kilat berlaku.
Kekuatan Goni diturunkan kepada ‘taufan super’ ketika ia merentasi selatan Kepulauan Luzon dan menghala ke Manila.
Pihak berkuasa negara ini menjangkakan kemusnahan teruk berlaku di setiap laluan Goni.
Taufan itu berlaku seminggu selepas Taufan Molave membadai rantau tersebut sehingga menyebabkan 22 orang maut.
Gabenor wilayah Albay, Alfrancis Bichara berkata, kanak-kanak berusia lima tahun merupakan antara penduduk yang maut akibat Goni.
Katanya, dua mangsa terkorban akibat lemas, manakala korban ketika maut akibat ditimbus tanah runtuh dan mangsa keempat terbunuh kerana dihempap pokok tumbang.
Selain itu, bumbung di dua pusat perlindungan sementara turut tercabut dan diterbangkan angin kencang
Ketua Pertahanan Awam Filipina, Ricardo Jalad berkata, seramai 346,993 penduduk sudah dipindahkan dari rumah masing-masing.
Sementara itu, di Manila, penduduk yang tinggal di kawasan rendah diarahkan supaya berpindah ke pusat perlindungan sementara, selain lapangan terbang di bandar itu juga ditutup. – AFP










