WASHINGTON: Ketika Donald Trump terus menegaskan kiraan undi pilihan raya presiden yang berlangsung dipenuhi pemalsuan dan penipuan, pencabarnya, Joe Biden pula semakin mengukuhkan kedudukan.
Ketika ini, Biden yang mewakili Parti Demokrat mendahului di beberapa negeri termasuk di Georgia, Nevada dan Arizona, manakala Trump cuba menguasai North carolina, Pennsylvania dan Florida.
Biden masih mendahului undian elektoral sebanyak 264, manakala Trump ketinggalan dengan memperoleh 214 undian.
Terdahulu, Trump yang mewakili Parti Republikan mengulangi pendiriannya bahawa kiraan undi Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) 2020 yang berlangsung dipenuhi dengan ‘penipuan dan kepalsuan’.
Trump menerusi sidang akhbar memaklumkan beliau boleh ‘menang dengan mudah’ sekiranya undian yang sah dikira.
“Jika anda mengira undian yang betul dah sah mengikut undang-undang pilihan raya, saya boleh menang dengan mudah.
“Namun, jika anda mengira undian yang sudah terang adalah palsu dan menipu, itu sama seperti ‘mencuri hak kami’,” katanya.
Trump juga mendakwa beliau sebenarnya sudah pun memperoleh kemenangan di beberapa negeri taruhan termasuk Florida, Iowa, Indiana dan Ohio.
Namun, barisan hakim mahkamah di Georgia dan Michigan menolak tuntutan undang-undang yang dikemukakan oleh pasukan kempen Trump di kedua-dua negeri tersebut.
Keputusan tersebut memberi tamparan hebat kepada pemimpin berusia 74 itu yang berusaha keras untuk mempertahankan kedudukannya sebagai presiden negara ini.
Selain itu, Trump menyatakan pasukan kempennya sudah menyediakan ‘langkah perundangan’ untuk berdepan dengan ‘penipuan yang dilakukan oleh Demokrat’.
Selain itu, dilaporkan berlaku beberapa demonstrasi menyokong dan membantah keputusan Trump yang mempersoalkan ketelusan pengiraan undi pilihan raya kali ini.
Di Minneapolis, penunjuk perasaan menghalang beberapa jalan utama menyebabkan ada dalam kalangan mereka ditahan polis, manakala ratusan berkumpul di Portland sebagai membantah tindakan Trump yang cuba masuk campur dalam urusan pengiraan undi.
Penunjuk perasaan juga dilaporkan merosakkan harta benda awam termasuk memecahkan tingkap premis perniagaan dan bertempur dengan anggota keselamatan.
Di Pheonix, kira-kira 150 penyokong Trump dengan sesetengahnya membawa senjata api berhimpun menunggu keputusan undian.
Sementara itu, Biden pula dilihat bersikap lebih tenang apabila meminta para penyokongnya supaya bersabar menunggu sehingga semua kertas undi selesai dikira.
“Di AS, undi adalah keramat dan dalam demokrasi, kesabaran diperlukan untuk memastikan semua perkara berjalan lancar.
“Kami berasa bagus dan tanpa ragu, selepas undian selesai dikira, saya dan Senator Kamala Harris akan diisytiharkan sebagai pemenang,” ujarnya. – AFP/AGENSI










