JAKARTA: Gabungan Wartawan Bebas (AJI) mendedahkan sekurang-kurangnya 56 wartawan didakwa pernah diserang atau diugut oleh anggota polis semasa protes Undang-Undang Cipta Kerja yang diadakan di Indonesia.
Lapor Jakarta Post, berdasarkan data bahagian advokasi AJI, sebahagian besar kejadian menimpa wartawan itu berlaku di Malang, Jawa Tengah iaitu sebanyak 15 kes dilaporkan, Jakarta (lapan kes) dan Surabaya (enam kes) bagi tempoh antara 7 hingga 21 Oktober lalu.
Menurut data tersebut, kebanyakan serangan dilakukan terhadap wartawan adalah dalam bentuk ugutan iaitu sebanyak 23 kes, rampasan atau memusnahkan data atau alat pengumpulan berita (13 kes) serta kekerasan fizikal (11 kes).
“Ironinya, individu menyerang media adalah polis yang merupakan sebuah institusi yang seharusnya menegakkan undang-undang negara,” jelas AJI dalam satu kenyataan.
Menurut AJI, serangan yang dilakukan terhadap wartawan dilihat sebagai kes jenayah berdasarkan Artikel 18 Undang-Undang Media.
Dalam pada itu, AJI menggesa Ketua Polis Negara, Jeneral Idham Azis mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota polis yang melakukan serangan terhadap pengamal media.
Persatuan itu juga mendesak polis untuk menilai semula program latihan kadet khususnya berkaitan pengendalian ketika tunjuk perasaan dan demonstrasi bagi memastikan rakyat dan pengamal media selamat.
Sebelum ini, beberapa aktivis menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan polis yang menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan dan wartawan ketika demonstrasi menentang undang-undang Omnibus itu.
Sementara itu, jurucakap polis, Brigadier Awi Setiyono menafikan dakwaan kononnya pegawai mereka menggunakan kekerasan ketika bertugas mengawal dalam protes Undang-Undang Cipta Kerja.
“Berhubung isu keselamatan ketika tunjuk perasaan, jangan memutarbelit fakta bahawa polis menggunakan kekerasan.
“Kami tidak melakukannya. Kami juga adalah manusia seperti orang lain,” katanya seperti dilaporkan Kompas.










