SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura dikenakan denda sebanyak S$3,750 (RM11,481) kerana menyerang wanita selepas enggan menahan pintu lif daripada terbuka.
Lapor Channel News Asia, Seo Chye Sin, 51 mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan secara sengaja dan menggunakan kekerasan.
Pertuduhan ketiga juga diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
Kejadian tersebut berlaku pada 27 Januari 2019, kira-kira 7 malam apabila mangsa berusia 49 tahun, menggunakan lif di sebuah blok pangsapuri Lembaga Perumahan di Choa Chu Kang.
Ketika kejadian, Chye Sin dilaporkan berjalan menuju ke arah lif dan meminta wanita berkenaan untuk menahan pintu bagi membolehkannya masuk tetapi dia menekan butang tutup dan tingkat keempat.
Chye Sin kemudian menggunakan tongkatnya untuk menghalang pintu lif daripada ditutup dan memasuki lif lalu menekan butang ke tingkat 15.
Dia kemudian bertanya mengapa tidak menahan pintu lif sehingga bertengkar dengan wanita tersebut sebelum bertindak menyerangnya.
Chye Sin dikatakan telah menolak wanita itu malah menumbuk kepalanya beberapa kali.










