Terumbu karang setinggi 500 meter ditemui di Australia - Utusan Malaysia

Terumbu karang setinggi 500 meter ditemui di Australia

SAINTIS menemui terumbu karang gergasi itu di perairan Queensland Utara. - SCHMIDT OCEAN INSTITUTE 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Sebuah terumbu karang gergasi berukuran 500 meter ditemukan di perairan Great Barrier Reef di Australia, baru-baru ini.

Penemuan terumbu karang baharu itu menjadikannya lebih tinggi berbanding beberapa bangunan pencakar langit tertinggi di dunia.

Pada ketinggian 500 meter, terumbu karang itu didapati lebih tinggi daripada Bangunan Empire State di Amerika Syarikat (AS) iaitu 381 meter, Menara Sydney (305 meter) dan Menara Berkembar Petronas (451.9 meter)

Lapor CNN, menurut Schmidt Ocean Institute, para saintis menemui terumbu karang terpisah itu di perairan Queensland Utara ketika dalam ekspedisi di atas kapal penyelidikan Falkor.

Jelasnya, penemuan terumbu karang yang pertama dalam tempoh lebih 120 tahun itu, mula dikesan pada 20 Oktober lalu ketika saintis dalam proses menyiapkan pemetaan dasar laut di Great Barrier Reef.   

Dengan menggunakan robot bawah laut bernama SuBastian, pasukan saintis itu meneroka terumbu karang itu serta melakukan penstriman secara langsung.  

Beberapa pakar memberitahu bahawa dasar terumbu karang berbentuk seperti pisau itu berukuran 1.5 kilometer (km) lebar, ketinggian pada 500 meter daripada kedalamannya 40 meter di bawah permukaan laut.

Terdapat tujuh terumbu karang tinggi yang terpisah di kawasan itu termasuk terumbu karang di Pulau Raine.

Robin Beaman yang mengetuai ekspedisi itu melahirkan rasa terkejut dengan penemuan terumbu karang tersebut.

“Kami bukan sahaja melakukan pemetaan terumbu karang secara terperinci malah dapat menyaksikan penemuan yang luar biasa ini dengan SuBastian,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Pengasas Bersama Schmidt Ocean Institute, Wendy Schmidt berkata, penemuan tidak dijangkakan itu turut menunjukkan bahawa pihaknya akan terus mengesan struktur dan spesies baharu yang tidak diketahui dalam lautan.  

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN