SYDNEY: Melbourne akan menarik balik perintah berkurung bemula Rabu ini selepas merekodkan sifar kes Covid-19 buat pertama kali sejak Jun lalu.
Lapor BBC, Melbourne yang merupakan ibu negeri Victoria menjalani perintah kawalan pergerakan sejak 111 hari lalu dengan penguatkuasaan perintah berkurung di rumah, sekatan perjalanan serta penutupan restoran dan kedai.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan bandar itu akan dibuka semula.
“Dengan sifar kes dicatatkan dan pelbagai ujian pada setiap minggu, ini adalah masanya untuk kita beroperasi semula,” kata Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews.
Negeri Victoria merupakan titik tumpuan semasa gelombang kedua Covid-19 dengan mencatatkan 90 peratus daripada 905 kematian.
Julai lalu, Victoria menyaksikan lonjakan kes positif Covid-19 sebanyak 700 kes sehari dan melalui perintah berkurung berjaya menurunkan angka tersebut.
“Secara asasnya, semua ini bergantung kepada setiap individu di Victoria yang mematuhi arahan, bekerja bersama saya dan pasukan yang berjaya menamatkan gelombang kedua ini.
“Kita perlu berbangga hari ini, optimis dan yakin tetapi perlu sentiasa selamat daripada Covid-19,” katanya.
Bermula 28 Oktober ini, penduduk di Melbourne bebas keluar rumah; semua kedai, restoran, kafe dan bar akan dibuka semula dengan terhad 10 pelanggan dalam satu masa; ziarah rumah ke rumah dibenarkan dengan syarat tertentu.
Selain itu, penduduk juga dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan tidak melebihi 10 orang dan majlis perkahwinan terhad dihadiri oleh 10 orang manakala majlis pengebumian boleh dihadiri oleh 20 orang.










