NEW YORK: Ratusan penunjuk perasaan berkumpul bagi membantah tindakan polis di Philadelphia yang menembak mati seorang lelaki kulit hitam berusia 27 tahun kerana didakwa cuba menyerang dengan pisau, kelmarin.
Insiden itu menyebabkan satu lagi tragedi yang mencetuskan kemarahan rakyat Amerika Syarikat (AS) dan keluarga mangsa mempersoalkan tindakan polis tersebut.
Media tempatan melaporkan, dua anggota polis menembak lelaki itu selepas mangsa enggan membuang pisau ketika ibunya cuba menenangkannya.
Dalam kejadian itu, seramai 90 peserta ditangkap, 30 anggota polis cedera termasuk seorang patah kaki akibat dilanggar trak.
Media AS melaporkan, video pembunuhan itu menunjukkan Walter Wallace, yang menghidap masalah mental menolak ibunya dan berjalan ke arah polis.
“Letakkan pisau itu,” jerit seorang anggota polis dalam video berkenaan yang kemudian disusuli tembakan.
Jabatan polis memberi amaran dalam Twitter bahawa perhimpunan besar melibatkan 1,000 orang itu mengganggu perniagaan di kawasan Castor dan Aramingo, dan oleh itu pihaknya menggesa orang ramai mengelakkan diri berada di kawasan itu
Seorang wartawan AFP di lokasi berbeza di Philadelphia Barat melaporkan kira-kira seramai 1,000 orang berkumpul dan melihat polis memegang baton memukul penunjuk perasaan tersebut dengan ganas.
Pejabat Gabenor Pennsylvania, Tom Wolf berkata, penempatan ratusan tentera Pengawal Nasional ke kawasan itu bagi melindungi hak berhimpun dan tunjuk perasaan secara aman sambil menjaga keselamatan orang ramai.
Beberapa siri tunjuk perasaan dan rusuhan melanda AS sejak polis membunuh George Floyd di Minnesota Mei lalu, apabila seorang anggota polis meletakkan lutut di atas leher Floyd, menyebabkannya sesak nafas.
Penunjuk perasaan menuduh polis bersifat perkauman dan ganas, namun Presiden AS, Donald Trump, menggunakan keresahan rakyat negara itu untuk menguatkan kempennya dalam usaha menentang Joe Biden.
Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Alyssa Farah, berkata, kerajaan bersiap siaga dan akan menggunakan sumber Kerajaan Persekutuan jika perlu, ketika hanya tinggal seminggu lagi untuk pemilihan presiden AS.
“Presiden Trump tidak akan bertolak ansur dengan tindakan ganas terhadap penguat kuasa undang-undang.
“Siasatan akan berjalan, namun kita tidak akan berlembut dengan pelanggaran undang-undang di jalan raya,” katanya kepada Fox News malam. – AFP










