NEW YORK: Penduduk etnik Uighur di wilayah Xinjiang berharap agar dapat bebas daripada cengkaman China dengan sokongan dan bantuan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Lapor CNN, seorang pelarian Uighur, Erkin Sidick berkata, pemimpin Parti Republikan itu merupakan satu-satunya ahli politik yang cukup kuat untuk memberi tekanan kepada China bagi mengakhiri penindasan golongan minoriti di Xinjiang.
Kata Sidick yang kini menjadi warga AS, pentadbiran Trump telah mengambil tindakan tegas terhadap China di atas penindasan hak asasi manusia di Xinjiang termasuk melaksanakan sekatan dan menyekat produk negara itu yang dibuat menggunakan buruh paksa.
“Untuk berurusan dengan China, kami memerlukan seorang pemimpin yang sangat kuat, dan Trump adalah pemimpinnya. Joe Biden pula agak baik dalam menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara lain tetapi sikap lembut beliau tidak sesuai bagi China,” katanya.
Tambah Sidick, beliau kurang yakin bahawa Presiden AS sangat berminat dengan krisis di wilayah Xinjiang mahupun bersimpati dengan penduduk berkenaan.
Namun, katanya, pentadbiran Trump khususnya Naib Presiden AS, Mike Pence dan Setiausaha AS, Mike Pompeo telah mengambil tindakan paling tegas dan berkemungkinan memberi tekanan lebih besar jika diberi mandat untuk mentadbir sekali lagi.
“Trump tidak begitu peduli terhadap umat Islam dan etnik Uighur tetapi secara keseluruhannya, kerajaan AS melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh mana-mana individu di dunia. Untuk itu, kami amat berterima kasih kepada mereka,” katanya.
Seorang lagi pelarian Uighur, Rahima Mahmut berkata, AS dibawah kepemimpinan Trump telah mengambil lebih banyak tindakan terhadap China berbanding negara lain berhubung isu Xinjiang.
“Semua negara Barat dan bebas termasuk Eropah masih belum ada pengumuman, sekatan, senarai pegawai atau sebarang tindakan pun. Ia hanya berlaku di AS jadi negara itu yang menjadi suara utama,” katanya.
Sementara itu, Channel News Asia melaporkan, beberapa senator AS berusaha mengisytiharkan bahawa China melakukan pembunuhan secara beramai-ramai terhadap etnik Uighur dan penduduk Islam lain yang bertutur dalam bahasa Turki, di negara berkenaan.
Resolusi itu dikemukakan oleh senator dari pelbagai fahaman politik, namun dijangka tidak dapat dibentangkan dalam masa terdekat kerana Senat tidak akan bersidang sehingga selepas pilihan raya presiden pada minggu depan.










