CORAL SPRINGS: Sebanyak enam juta sarung tangan yang bernilai sebanyak AS$1 juta (RM4.16 juta) untuk digunakan oleh petugas barisan hadapan di beberapa hospital Florida, dilaporkan telah dicuri pada Ahad lalu.
Lapor Channel News Asia, pembekal sarung tangan perubatan bagi sektor penjagaan kesihatan negara, Medgluv berkata, syarikatnya menerima bekalan sarung tangan di pejabatnya terletak di Coral Springs pada Jumaat lalu.
Pada Ahad malam, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beberapa individu bertindak menceroboh bangunan dan mengambil peralatan pelindungan diri daripada kapal kontena dan memuatkannya ke dalam trak yang dibawa oleh mereka.
Jelas syarikat itu, kejadian itu mengambil masa selama beberapa minit sahaja.
“Terdapat permintaan daripada pihak hospital untuk produk ini bagi kegunaan harian dan mereka menunggu bekalan ini untuk ia sampai.
“Ia amat menyedihkan,” kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Medgluv, Rick Grimes.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai kejadian itu sama ada melibatkan kerja orang dalaman syarikatnya.
Jelas Grimes, polis tempatan dan pihak berkuasa berkaitan sedang menjalankan siasatan kerana bekalan sarung tangan perubatan itu didaftarkan di bawah persekutuan.










