JAKARTA: Majalah satira Perancis, Charlie Hebdo bertindak biadab apabila melukis karikatur lucah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Lapor CNN Indonesia, lukisan karikatur yang menjadi penghias muka depan majalah tersebut dan diterbitkan semalam itu memaparkan Recep Tayyip memakai baju dan seluar pendek dengan tangan kirinya mengangkat baju wanita berhijab sehingga kelihatan punggungnya.
Karikatur itu memaparkan dialog ‘Oh, Nabi! sementara judulnya menyiarkan ‘Erdogan: Semasa bersendirian, dia sangat lucu’.
Turki menyelar tindakan itu dan menyifatkan sebagai penyebar rasisme dan kebencian.
“Kami mengutuk perbuatan paling menjijikkan daripada penerbitan itu yang menyebarkan rasisme dan kebencian budaya.
“Agenda anti Islam Presiden Perancis, Emmanuel Macron membuahkan hasil! Charlie Hebdo baru saja menerbitkan siri kartun yang penuh gambar-gambar mengaibkan yang kononnya itu adalah Presiden kita,” tulis pembantu pegawai akhbar Recep Tayyip, Fahrettin Altun.
Tindakan majalah itu dilihat cuba campur tangan apabila Reccep Tayyip, Macron dan pemimpin Eropah lain rancak berperang mulut susulan insiden pembunuhan guru yang dipenggal kepalanya kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW.
Macron menegaskan negara itu tetap berpegang kepada tradisi sekular dan undang-undang yang membenarkan penerbitan anti Islam seperti dilakukan Charlie Hebdo.
Semalam, Recep Tayyip dengan lantang menggesa rakyat Turki memboikot produk Perancis sebagai mengikut jejak langkah negara Islam lain yang menzahirkan protes terhadap Macron.










