‘Terusan Thailand’ ganti Segenting Kra? - Utusan Malaysia

‘Terusan Thailand’ ganti Segenting Kra?

PEKERJA menjalankan projek naik taraf pelabuhan di Bangkok. Projek ‘Terusan Thailand’ akan mempercepatkan hubungan antara Laut Andaman dan Teluk Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kerajaan memper­untukkan 10 juta baht (RM1.3 juta) kepada Majlis Pemba­ngunan Sosial dan Ekonomi Kebangsaan (NESDC) bagi me­ngadakan pendengaran awam dan kajian baharu mengenai projek ‘Terusan Thailand’ atau turut dikenali ‘Terusan 9A’.

Kajian baharu itu turut melibatkan projek pembinaan landasan berkembar kereta api menghubungkan Chumphon dan Ranong.

Bangkok Post melaporkan, dua projek tersebut merupakan kunci utama pembangunan ekonomi selatan Thailand.

Setiausaha Agung NESDC, Thosaporn Sirisamphand berkata, pendengaran awam dan kajian tersebut akan dilaksanakan sebaik sahaja dana fiskal 2021 bermula Oktober ini ditetapkan.

Pada Oktober 2018, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha mengarahkan Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan serta Pejabat Majlis Keselamatan meneliti cada­ngan projek terusan yang meng­hubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman.

Projek Terusan Thailand sepanjang 135 kilometer itu akan dimulakan di Krabi, Laut Andaman sehingga Trang, Nakhon Si Thammarat dan Songkhla di Teluk Thailand.

Idea pembangunan projek tersebut menjadi topik perbincangan pelbagai pihak sejak beberapa abad lalu.

Sebelum ini, kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra meluluskan penubuhan jawatan kuasa me­lakukan kajian tersebut namun terpaksa dihentikan selepas pentadbirannya digulingkan pada 2006.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Persatuan Terusan Thailand yang melibatkan golongan pesara pegawai tentera, ahli politik dan eksekutif yang mempunyai hubungan baik dengan China mendesak projek tersebut dite­ruskan selain cuba memujuk kerajaan melaksanakan pelan terusan mega yang dikenali Te­rusan Thailand.

Minggu lalu, Prayuth meng­arahkan kertas kerja membina ‘jambatan darat’ Teluk Thailand dan Laut Andaman dikaji dan projek itu dijang­ka meningkatkan ekonomi wilayah selatan.

Berdasarkan kertas kerja tersebut, projek jambatan me­rentangi kawasan sepanjang 100 kilometer membolehkan pembinaan jalan raya dan landasan kereta api menghubungkan pelabuhan di Teluk Thailand dan Laut Andaman.

Kajian terdahulu me­nunjukkan 1.5 trilion baht (RM199 bilion) diperlukan untuk meneruskan pembinaan jambatan itu yang menghubungkan pelabuhan laut dalam Pak Bara di Laut Andaman di Satun de­ngan Songkhla.

Melalui kajian tersebut, dana yang diperuntukkan merangkumi pembinaan landasan kereta api, laluan kenderaan, sistem saluran paip petroleum dan gas serta kawasan khas pembangunan industri berat dan ringan.

Dalam perkembangan berkaitan, cadangan ‘memba­talkan’ projek Segenting Kra dan menggantikannya dengan jajaran jalan raya serta landasan kereta api dilihat bukan sahaja memberi faedah besar kepada China malah India juga menerima tempias.

Isu berkaitan projek tersebut timbul semula penghujung Ogos tahun lalu apabila Menteri Pengangkutan, Saksiam Chidchob memberi gambaran membina ‘jalan pintas’ mengurangkan ‘kesesakan trafik’ Selat Melaka menerusi jalan raya dan landasan kereta api.

Kenyataan Saksiam itu mendapat perhatian banyak pihak, malah pakar akademik Amerika Syarikat (AS), Salvatore Babones menyatakan pembinaan jambatan itu secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada China untuk ‘menjatuhkan India’.

Saluran televisyen WION melaporkan Thailand ‘membatalkan’ pelan pembinaan Segenting Kra selain didakwa membatalkan pembayaran dua kapal selam buatan China dan keadaan itu memberi isyarat Beijing sebenarnya ‘sudah kehilangan sekutu’ di rantau Indo Pasifik biarpun Thailand bukan sekutu perjanjian China.

Hindustan Times pula me­laporkan projek itu boleh me­nimbulkan risiko jangka panjang terhadap keselamatan maritim India manakala The Economic India menyatakan New Delhi akan menyambut baik keputusan Bangkok menolak China memandangkan Segenting Kra dilihat sebagai ‘ancaman kepada kepentingan keselamatan di Teluk Bengal’.

Namun, kesemua anggapan India mengenai projek tersebut disifatkan tidak berasas.

Hal demikian kerana projek Segenting Kra tidak pernah di­mulakan malah perdana menteri Thailand dilihat seperti ‘tidak berminat’ dengan projek berkenaan, sebaliknya lebih mengutamakan pilihan raya serta pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya