Ramai bekas pengganas kembali mengganas - Utusan Malaysia

Ramai bekas pengganas kembali mengganas

PASUKAN khas polis Indonesia menahan seorang suspek militan di sebuah rumah di Bekasi, Jawa Barat pada Oktober tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 94 bekas ‘pengganas’ warga Indonesia yang dibebaskan dari penjara antara 2002 hingga Mei tahun ini dilaporkan terlibat semula dalam kegiatan tersebut.

South China Morning Post melaporkan, sebanyak 43 daripada mereka terlibat dalam aktiviti Daesh termasuk 13 lelaki yang ditahan kerana melakukan jenayah dalam penjara manakala 12 lagi cuba menyertai kumpulan pengganas di luar negara termasuk tiga yang ditahan di Filipina.

Menurut laporan Institut Polisi Analisis Konflik (IPAC), jumlah tersebut adalah dalam kalangan 825 pesalah keganasan lelaki dan wanita yang dibebaskan, sekali gus menjadikan kadar penglibatan semula seba­nyak 11.4 peratus.

“Kebanyakan bekas pesalah yang dibebaskan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama atau jenayah berkaitan, namun cabarannya adalah memahami faktor-faktor yang boleh mendorong pengli­batan semula dalam organisasi keganasan serta mana-mana program yang dapat mempe­ngaruhi mereka.

“Sentimen radikal yang tinggi dalam penjara, mempunyai hubungan rapat dengan ahli keluarga kumpulan militan dan keupayaan mempunyai kuasa, ideologi serta tindakan fizikal merupakan antara faktor penglibatan semula,” jelas laporan IPAC.

IPAC turut menyebut tanpa mempunyai peluang bertindak, komitmen ideologi dan berhubung dengan ahli keluarga militan sahaja mungkin tidak mencukupi mempengaruhi pesalah untuk terlibat semula dalam kancah keganasan, terdapat beberapa faktor lain yang mereka teliti.

Satu daripadanya terma­suklah idea jihad yang dilihat ‘memberi pengaruh kuat’ kepada golongan itu serta beberapa kumpulan militan tempatan seperti Mujahidin di Poso, Sulawesi Tengah dari 2012 hingga 2016.

Namun, ‘seruan menyertai kumpulan Daesh’ di Syria dan Iraq dari 2014 hingga 2017 menjadi ‘tarikan utama’ untuk rak­yat negara ini, termasuk bekas banduan terlibat semula dalam organisasi keganasan.

Antara mereka adalah Abdul Rauf yang dibebaskan pada 2011 selepas dipenjara selama 10 tahun kerana menjadi dalang pengeboman di Bali 2002, namun dia menjadi rakyat Indonesia pertama meninggal dunia ketika menyertai Daesh di Ra­madi, Iraq.

Di Indonesia, Poso menjadi kawasan panas penglibatan semula bekas pesalah keganasan, menyaksikan 21 kes melibatkan 16 lelaki atau 76 peratus terjebak semula dalam aktiviti keganasan di wilayah tersebut.

“Terdapat beberapa penjelasan kenapa banyak bekas pesalah memilih Poso untuk terlibat semula dalam keganasan.

“Hal demikian kerana Poso menjadi satu-satunya tempat di negara ini yang dikaitkan dengan kegiatan militan secara berterusan sejak 2000 dan wilayah itu kini menjadi markas Mujahidin Indonesia Timur (MIT) yang mengaku bersekongkol dengan Daesh.

“Poso juga dilihat sebagai ‘pangkalan yang dijamin’ meluaskan kegiatan Daesh, mengembangkan sentimen jihad yang bertentangan dengan Islam dan bagi menggantikan Malaysia sebagai pangkalan ekonomi kumpulan Jemaah Islamiah (JI).

JI merupakan rangkaian kumpulan militan al-Qaeda dan Malaysia didakwa menjadi markas kumpulan itu ‘mencari serta mengumpul dana aktiviti mereka’, jelas IPAC.

Sementara itu, lebih 120 pesalah keganasan dijangka dibebaskan menjelang hujung tahun ini manakala 150 lagi dijadualkan bebas tahun depan.

Sehubungan itu, IPAC menekankan kepentingan pasukan anti-keganasan negara ini supaya terus meneliti ‘tanda-tanda tarikan besar, ideologi atau geografi’ yang boleh mempe­ngaruhi bekas pesalah terjebak semula dalam aktiviti keganasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya