Blake Lively tuntut pampasan dan ganti rugi terhadap Justin Baldoni - Utusan Malaysia

Blake Lively tuntut pampasan dan ganti rugi terhadap Justin Baldoni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Pertikaian undang-undang membabitkan pelakon Hollywood, Blake Lively dan Justin Baldoni berhubung filem ‘It Ends With Us’ masih belum berakhir meskipun kedua-dua pihak mencapai penyelesaian baru-baru ini.

Menurut sumber daripada TMZ, Blake atau nama sebenarnya Blake Ellender Brown, 39, telah memfailkan tuntutan baharu bagi mendapatkan pampasan kewangan daripada Justin.

Tuntutan ini adalah berdasarkan undang-undang California yang melindungi individu daripada tindakan balas selepas membuat aduan gangguan di tempat kerja.

Peguam Blake, Michael Gottlieb dan Esra Hudson mengatakan bahawa Blake akan meneruskan tuntutan terhadap Justin dan pihak berkaitan kerana memfailkan saman fitnah terhadapnya.

Sebelum ini, Justin memfailkan saman fitnah selepas Blake membuat aduan gangguan seksual terhadapnya ketika penggambaran filem tersebut berlangsung.

Bagaimanapun, mahkamah kemudian menolak saman fitnah difailkan oleh Justin.

Dalam pada itu, saman fitnah ini membuka ruang kepada Blake untuk menuntut bayaran guaman selain pampasan dan ganti rugi punitif.

Peguam Justin, Bryan Freedman bagaimanapun menyifatkan pihak mereka memperoleh kemenangan besar selepas mahkamah menggugurkan hampir keseluruhan tuntutan dikemukakan Blake.

“Mahkamah sudah menggugurkan 10 daripada 13 tuntutan dikemukakan Blake termasuk semua dakwaan gangguan seksual dan fitnah.

“Pada pandangan saya, mereka memilih untuk menyelesaikan kes ini kerana tahu mereka akan kalah di mahkamah. Apa yang tinggal sekarang hanyalah tuntutan bayaran guaman berkaitan isu tertentu,” katanya.

Sementara itu, peguam Blake pula mendakwa saman fitnah difailkan terhadap pelakon itu sebelum ini bertujuan mendiamkan isu ini daripada terus bersuara.

“Penyelesaian ini adalah kemenangan besar buat Blake Lively. Defendan kini perlu bertanggungjawab kerana didakwa menyalahgunakan sistem perundangan untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan Blake,” katanya.

Terdahulu, konflik antara Blake dan Justin mula menjadi perhatian selepas kedua-duanya bekerjasama menerusi filem ‘It Ends With Us’ yang diadaptasi daripada novel popular karya Colleen Hoover sebelum hubungan mereka dilaporkan menjadi tegang susulan pelbagai dakwaan dibangkitkan di mahkamah. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN