fbpx

Prospek ‘haji hijau’ terbuka luas

TUKANG gunting memakai sut perlindungan diri ketika mencukur rambut jemaah yang selesai melaksanakan ibadah melontar jamrah al-Aqabah di Mina. – AFP
  • Oleh Metra Syahril Mohamed
  • 2 Ogos 2020, 9:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Jumlah pelepasan karbon yang rendah, kurang sampah dan lebih mesra alam, ibadah haji tahun ini dengan bilangan jemaah lebih kecil ekoran Covid-19 membuka seluas-luasnya prospek ‘haji hijau’ atau green hajj.

Ibadah haji yang menghimpunkan 2.5 juta jemaah dari serata dunia tahun lalu, biasanya menimbulkan cabaran alam sekitar yang besar kepada pemerintah khususnya pelepasan karbon daripada ribuan kenderaan serta sisa buangan plastik.

Haji tahun ini yang terhad kepada 10,000 jemaah, memberikan ‘ruang bernafas’ cukup segar kepada semua.

Namun bagi aktivis alam sekitar, Nouhad Awwad, jumlah jemaah yang kecil tidak menentukan kesan terhadap alam sekitar tetapi lebih kepada ‘tingkah laku kolektif pelbagai pihak’.

“Walaupun berdepan waktu sukar ketika penularan Co­vid-19, pelaksanaan haji dapat menjadi sumber harapan, membawa idea kepada prospek bagaimana gambaran ‘haji hijau’,” jelas­nya.

Pemandangan di Mekah sejak haji bermula Rabu lalu amat berbeza berbanding tahun sebelumnya dengan pergerakan jemaah dihadkan dan teratur.

Batu kerikil untuk me­lontar jamrah juga di­sanitasi dan diletakkan dalam kit haji yang disediakan pihak berkuasa kepada jemaah termasuk pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

“Semuanya bersih dan hanya ada beberapa pekerja mengutip jumlah sampah yang sedikit,” kata Azim Allah Farha, jemaah warga Afghanistan.

Nouhad berkata, walaupun haji tahun ini meninggalkan kesan alam sekitar yang kecil, pada masa depan kesan itu mesti menjadi keutamaan.

“Dengan melabur dalam pembangunan lestari dan menerapkan amalan hijau, kita dapat menunaikan ibadah dalam keadaan bebas pencemaran,” katanya.

Beliau membayangkan penggunaan tenaga ketika pelaksa­naan haji dapat dijana melalui tenaga solar.

 

NASIB PENTERNAK SOMALIA

Dalam pada itu, jumlah jemaah haji yang terhad dan sambutan Aidiladha yang sederhana memberi kesan kepada pengembala dan pedagang di Somalia yang mengeksport berjuta-juta ternakan ke Mekah.

“Bisnes semakin teruk. Kesan Covid-19 sangat jelas. Negara-negara Arab tidak memerlukan ternakan dari Somalia dan pengembala tidak mahu membawa ternakan ke bandar kerana takut dijangkiti virus,” kata Yahye Hassan yang bekerja di pasar di Mogadishu.

Menurut Bank Dunia, Arab Saudi menyumbang hampir dua pertiga permintaan dalam eks­port ternakan Somalia.

“Pembatalan haji bagi jemaah asing mempunyai kesan besar terhadap Somalia. Sektor ternakan menyumbang 60 peratus pendapatan isi rumah. Ini adalah tamparan hebat bagi penternak yang bergantung kepada eksport ke Arab Saudi,” kata Pengarah Action Against Hunger Somalia, Ahmed Khalif. – AFP