PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati dua warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan yang ditahan kelmarin telah membawa masuk 54 warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) tanpa pemeriksaan ketat.
Satu sumber berkata, sindiket berkenaan dikatakan telah membayar sebanyak RM135,000 kepada penguat kuasa di KLIA 1 bagi melepaskan warga asing dari Bangladesh itu tanpa melalui pemeriksaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Setakat ini, seorang lagi warga Bangladesh sedang diburu SPRM kerana disyaki terlibat dalam kegiatan itu.
“Selain bayaran RM135,000, sindiket ini juga telah membayar sejumlah lagi wang bonus RM3,700 kepada pegawai penguat kuasa yang melepaskan warga asing di KLIA 1” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, dua individu warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan yang beribu pejabat di luar negara ditahan kerana disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing di KLIA 1.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh SPRM sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Siasatan awal mempercayai kedua-dua suspek merupakan ejen warga asing yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA 1 bagi memudahkan kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara.
Kelmarin, SPRM melalui Bahagian Perisikan telah menjalankan satu operasi bersepadu, Op Recruit bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta Bahagian Integriti dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Operasi yang turut disertaI anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) ini berpandukan maklumat hasil risikan dari awal tahun ini.
Hasil serbuan itu, seramai 29 warga asing yang terdiri daripada 21 lelaki dan lapan wanita yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigesen 1963.
Sementara itu, SPRM turut menyita tiga unit telefon bimbit dan juga pelbagai mata wang asing seperti dollar (Amerika Syarikat), rupiah (Indonesia) dan taka (Bangladesh) bernilai kira-kira RM16,000 dalam serbuan tersebut. – UTUSAN










