ARAU: Pemilihan kepemimpinan Pas sempena Muktamar Tahunan 2025 yang dijadual berlangsung di Kedah September ini dijangka memperlihatkan satu peralihan penting dalam usaha menyeimbangkan dominasi ulama dan kemunculan tokoh-tokoh muda berpengaruh.
Tan Sri Abdul Hadi Awang hampir pasti kekal sebagai Presiden parti selepas menyatakan komitmen untuk terus memimpin.
Secara langsung, ini memberi gambaran bahawa Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, juga berpeluang mengekalkan jawatan tanpa saingan besar.
Fokus kini tertumpu kepada kerusi Naib Presiden, yang disandang Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Namun, kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai calon baharu bakal merubah landskap persaingan.
Meskipun pernah dua kali menolak pencalonan sebelum ini, kali ini Muhammad Sanusi dilihat lebih bersedia untuk mengorak langkah ke tahap lebih tinggi, dengan sokongan kuat akar umbi termasuk pencalonan rasmi oleh Pas kawasan Alor Setar.
Sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, pengaruh dan populariti beliau, khususnya dalam kalangan generasi muda, menjadikannya aset penting untuk parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berpandangan, gandingan tiga Menteri Besar iaitu Muhammad Sanusi, Ahmad Samsuri dan Mohd. Nassuruddin Daud (Kelantan), boleh menawarkan nafas baharu kepada barisan kepemimpinan Pas.
Katanya gandingan itu berpotensi menyeimbangkan dominasi golongan ulama dengan kelompok profesional, sekaligus mencerminkan keterbukaan Pas terhadap pembaharuan tanpa mengetepikan tradisi.
Walaupun Idris dan Mohd. Amar dijangka mempertahankan jawatan, kehadiran tokoh baharu seperti Muhammad Sanusi boleh mencetuskan saingan sengit.
Sekiranya transformasi ini berlaku, ia bukan sahaja memperkukuh organisasi parti, malah memberi mesej bahawa Pas bersedia mendepani realiti politik baharu dengan barisan kepemimpinan yang lebih segar, berwibawa dan seimbang antara pengalaman dan idealisme generasi masa kini. – UTUSAN










