Tarif AS: Malaysia tak lepaskan kepentingan sektor strategik

Tarif AS: Malaysia tak lepaskan kepentingan sektor strategik

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Informa Markets in Asia, Margaret Ma Connolly (dua dari kanan) pada majlis perasmian IHW 2025 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan melepaskan kepentingan sektor strategik negara dalam rundingan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) yang masih berjalan sehingga tarikh akhir pada 1 Ogos ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebarang persetujuan yang dicapai hanya akan dimeterai sekiranya ia tidak menjejaskan keutamaan nasional.

Katanya,  rundingan bersama AS perlu menjurus kepada penyelesaian bersifat menang-menang tanpa menjejaskan kepentingan ekonomi negara.

“Yang penting, apa-apa hasil perundingan mestilah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. 

“Rundingan setakat ini, seperti yang saya sebut tadi, kita kena realistik. Ada isu-isu yang tidak boleh kita kompromi seperti soal kedaulatan negara dan industri strategik.

“Saya juga berpandangan bahawa apa sahaja yang kita persetujui dengan AS, perlu turut diberikan kepada negara lain termasuk negara ASEAN, Eropah, China dan sebagainya.

“Jadi, kita perlu melihat perkara ini dari pelbagai aspek,” katanya selepas merasmikan  Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 di sini, semalam.

Untuk rekod, antara sektor strategik negara adalah perbankan dan tenaga.

Mengulas mengenai Indonesia yang berjaya menurunkan tarif balas AS kepada 19 peratus daripada 32 peratus ini, beliau berkata, Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Indonesia.

“Setakat ini, kita hanya tahu apa yang diumumkan oleh Presiden AS (Donald Trump) sahaja. Jadi, kita sedang menunggu tindakan lanjut daripada Indonesia.

“Bagi Malaysia, rundingan rasmi masih berjalan sehingga 1 Ogos dan kita akan terus berusaha mencapai kesepakatan yang menguntungkan kedua-dua negara. Kita masih ada masa,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Trump  dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya berkata, barangan Indonesia yang memasuki AS akan dikenakan tarif sebanyak 19 peratus. 

Ini jauh lebih rendah daripada paras 32 peratus yang pernah diancam sebelum ini oleh beliau.

Zafrul berkata, kadar tarif ke atas Malaysia ketika ini kekal pada 10 peratus dan beberapa sektor strategik negara masih dikecualikan.

“Setakat ini, kadar 10 peratus masih kekal dan pengecualian terus diberikan kepada sektor-sektor tertentu seperti farmaseutikal dan elektrikal & elektronik (E&E), khususnya yang membabitkan komponen semikonduktor,” ujarnya.

Mengulas hubungan perdagangan dengan AS, beliau berkata, nilai dagangan Malaysia-AS pada 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion) dengan Malaysia menjadi sumber utama kepada produk seperti komponen E&E, mesin dan peralatan, sarung tangan getah, produk berasaskan kayu dan minyak sawit.

Beliau berkata, Malaysia juga menjadi pangkalan pengeluaran penting bagi pelaburan syarikat AS sejak lima dekad lalu, dengan 169 projek pelaburan direkodkan antara 1980 hingga 2024 melibatkan nilai RM77.5 bilion dalam sektor E&E, mesin dan peralatan saintifik.

“Sepanjang tempoh itu, syarikat-syarikat ini turut menerima pelbagai insentif pelaburan seperti Taraf Perintis, Elaun Cukai Pelaburan, Elaun Modal Automasi, Status R&D serta geran berimpak tinggi berjumlah RM4.1 bilion secara kumulatif. 

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, insentif tahunan berjumlah antara RM800,000 hingga RM1.2 bilion telah diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN