Siapa Ketua Hakim terus jadi teka-teki

Siapa Ketua Hakim terus jadi teka-teki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Ke­tua Hakim Negara terus menjadi tanda tanya dan menimbulkan pelbagai persoalan selepas tiada pengumuman dibuat susulan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berakhir semalam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, ia tidak memperinci sebarang keputusan atau pengesahan berhubung pelantikan jawatan Ketua Hakim Negara yang baharu.

Sebaliknya, isu keselamatan negara, pelantikan hakim secara umum dan cadangan pengharaman vape antara yang disentuh dalam mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan mengenai pertahanan Negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

“Selain itu, perkara me­ngenai pelantikan telah pun dibincangkan dalam Mesyuarat tersebut, iaitu pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan dan Pelantikan Ketua Hakim Negara,” katanya semalam.

Tambah Syed Danial, majlis juga telah mengambil maklum mengenai cadangan mengharam­kan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.

“Turut dibentangkan ialah pandangan Hukum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-126 dan 127 serta Resolusi Mesyua­rat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Tahun 2025.

“Di samping itu, keperluan pendaftaran perkahwinan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dan kertas keputusan Jemaah Menteri mengenai cadangan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak berpusat juga dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan,” katanya.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Selain itu, berangkat bersama Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra; Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ke­tua-Ketua Menteri serta wakil premier Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN