fbpx

‘Kami juga merindui Tanah Suci’

PETUGAS haji duduk dalam keadaan penjarakan sosial ketika sesi persediaan musim haji di Masjidilharam, Mekah. – AFP
  • Oleh Metra Syahril Mohamed
  • 29 Julai 2020, 9:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Keputusan kerajaan mengehadkan jumlah jemaah haji musim ini bukan sahaja ‘diratapi’ jutaan umat Islam yang telah sekian lama menabung dan membuat perancangan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Arab News melaporkan, perkara sama turut dirasai penduduk tempatan khusus­nya sukarelawan yang melihat musim haji kali ini ‘sepi’.

Biarpun ada dalam kala­ngan mereka sudah berkali-kali berkesempatan menunaikan haji, perasaan sedih tetap menyelubungi.

Hal demikian kerana bukan sahaja jumlah jemaah dikecilkan kepada sekitar 10,000 orang, penduduk tempatan juga terkesan apabila dilarang memasuki tempat-tempat suci yang diwartakan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun semuanya memahami situasi semasa kerana dunia dilanda Covid-19 yang mudah menjangkiti manusia.

“Biarpun sudah 22 kali dapat menunaikan haji, saya merindui Tanah Suci. Saya tidak kecewa kerana jumlah jemaah kali ini dikecilkan disebabkan faktor ke­selamatan. Bagi kami penduduk tempatan, ibadah dan amal boleh dilakukan di mana sahaja,” kata Wafa Shaheen, seorang penulis yang mendalami pengajian pentafsiran ilmiah al-Quran.

Jurutera kimia, Abdulrahman Abdulkhaliq pula berkata, sejak 10 tahun lalu dia menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan haji dan kerja-kerja amal itu dinantikan setiap tahun.

“Tetapi tahun ini saya tidak dapat bayangkan bagaimana musim haji akan berlalu dan saya tidak ada di sana (Tanah Suci). Haji tahun ini adalah satu cabaran dan kami akan banyak belajar darinya untuk musim haji akan datang,” katanya.

Seorang doktor, Afnan al-Sulami yang turut bertugas sebagai sukarelawan haji selama enam tahun sebelum ini bersependapat dengan Abdulrahman dan amat merindui Tanah Suci yang sebelum ini penuh dengan jemaah dari pelbagai negara.

Sekatan untuk bertugas sebagai sukarelawan juga mengecewakan lebih 4,000 pengakap Arab Saudi yang sudah biasa berada di Tanah Suci bagi membantu jemaah.

“Walaupun kami tidak dapat mengambil bahagian musim kali ini, kenangan tahun-tahun sebelum ini cukup indah terutamanya apabila dapat membantu jemaah yang sakit dan kanak-kanak.

“Keputusan pemerintah untuk mengehadkan jumlah jemaah dan petugas adalah untuk memastikan keselamatan semua,” kata Mubarak al-Dosari yang menggerakkan pasukan pengakap di Arab Saudi.

Terdahulu pihak berkuasa melakukan persiapan melibatkan sektor kesihatan dan ke­selamatan.

Pejabat Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci memasang petanda laluan untuk aliran jemaah di Masjidilharam dan memastikan komitmen penjarakan sosial.

Pintu masuk dan keluar juga ditetapkan bagi mengelak ke­sesakan dan kelancaran pergerakan jemaah.

Perancangan ke­selamatan itu disusun de­ngan kerjasama Kementerian Haji dan Umrah.

Pihak berkuasa juga me­ningkatkan kapasiti pengeluaran botol air zam-zam untuk diedarkan kepada jemaah.

Botol itu disanitasi serta dihasilkan untuk sekali penggunaan sahaja.

Mesin penyejuk air dan botol kitar semula dilarang atas faktor kesihatan.

Kementerian Kesihatan pula menyediakan klinik bergerak di lokasi-lokasi strategik yang dilengkapi peralatan perubatan, doktor serta klinik pergigian.