Doktor Korea Selatan rancang mogok baharu 18 Jun 

Doktor Korea Selatan rancang mogok baharu 18 Jun 

RIBUAN doktor menyertai perhimpunan membantah program reformasi penjagaan kesihatan kerajaan di Seoul, Korea Selatan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Kumpulan pelobi utama doktor Korea Selatan akan melancarkan mogok pada 18 Jun ini bagi membantah rancangan pembaharuan penjagaan kesihatan oleh pihak kerajaan.  

Langkah itu mengingkari amaran Perdana Menteri kerana tindakan sedemikian akan merosakkan kredibiliti komuniti perubatan.

Persatuan Perubatan Korea yang mewakili hampir 140,000 doktor negara itu berkata, 74 peratus ahli yang menyertai undian meluluskan tindakan kolektif itu.

Presiden Persatuan itu,  Lim Hyun Taek berkata, rancangan kerajaan akan memusnahkan sistem perubatan negara dan tidak melakukan apa-apa untuk mengubah masalah kekurangan doktor kronik dalam disiplin penting serta isu pampasan yang tidak mencukupi.

“Dengan sokongan wakil di seluruh negara, Persatuan Perubatan Korea (KMA) akan berdiri di barisan hadapan dalam perjuangan menyelamatkan sistem perubatan,” kata Hyun Taek pada mesyuarat yang dihadiri wakil pelbagai kumpulan perubatan.

Menurut beliau, anggotanya akan berhenti bekerja pada 18 Jun dan terdapat rancangan untuk perhimpunan besar-besaran.

Perdana Menteri, Han Duck-soo berkata, sebarang tindakan kolektif oleh doktor adalah menyalahi undang-undang dan amat dikesali, malah mengulangi seruan untuk dialog bagi menyelesaikan kebuntuan itu.

“Kepercayaan sosial yang sudah dibina komuniti perubatan dan pesakit selama beberapa dekad tidak boleh dibiarkan runtuh kerana tuntutan radikal oleh segelintir orang,” katanya.

Ribuan doktor di negara itu menentang rancangan menambah 2,000 lagi bilangan pelajar baharu yang memasuki sekolah perubatan sebagai pembaharuan utama program reformasi penjagaan kesihatan kerajaan.

Kerajaan berkata, penambahan itu perlu bagi menampung kekurangan doktor yang dikhuatiri akan bertambah buruk dalam beberapa tahun akan datang.

Bagi membantah rancangan itu, beribu-ribu doktor pelatih dan doktor senior berhenti kerja pada 20 Februari lalu, memaksa hospital utama mengurangkan perkhidmatan bukan kecemasan dan mengembalikan pesakit di bilik kecemasan.

Sejurus sebelum mesyuarat KMA, kerajaan menyeru kumpulan itu supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang akan membahayakan keselamatan orang ramai yang akan menjejaskan reputasi para doktor dan mengurangkan kepercayaan terhadap profesion perubatan.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN