Banyak makan garam boleh kena darah tinggi

Banyak makan garam boleh kena darah tinggi

INDIVIDU yang mempunyai tekanan darah dalam julat 130 hingga 139mmHg sistolik dan 85 hingga 89mmHg diastolik perlu pantau tekanan darah mereka dengan teliti dan membuat perubahan gaya hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mengambil diet tinggi dengan kandungan garam, lemak dan rendah nutrien penting yang membawa risiko mendapat tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Selain kegagalan mengawal cara pemakanan harian, mereka juga kurang melakukan aktiviti fizikal dan stres yang melampau dalam persekitaran pekerjaan sekali gus membawa kepada masalah tersebut.

Pakar perubatan bersetuju hal itu dengan menyifatkan hipertensi bertindak sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana penyakit berkenaan biasanya muncul dengan sedikit atau tanpa petanda.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 merekodkan, hipertensi menjejaskan 29.2 peratus atau satu daripada tiga orang dewasa di negara ini. Menurut laporan sama, 11.9 peratus daripadanya tidak tahu menghidap hipertensi, malah kebanyakan mereka terlibat dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun.

Pakar Perunding Am (Perubatan Dalaman), Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Jolene See Su Chen berkata, walaupun berdepan dengan risiko ketara, namun, masih ramai rakyat Malaysia tidak sedar status tekanan darah mereka kerana biasanya tidak bergejala di peringkat awal.

Garis panduan am kekalkan berat badan sihat:

 Sasarkan Indeks Jisim Badan (BMI) antara 18.5 dan 22.9 berdasarkan Pengurusan Obesiti CPG Malaysia 2023
 Sasaran ukur lilit pinggang lelaki kurang daripada 90 sentimeter (cm), manakala wanita (kurang daripada 80cm) berdasarkan Pengurusan Obesiti CPG Malaysia 2023
Penurunan berat badan sederhana sebanyak lima hingga 10 peratus daripada berat semasa anda boleh menambahbaik tekanan darah dan kesihatan keseluruhan dengan ketara.

Katanya, hipertensi di negara ini menyaksikan pertambahan kes, terutama golongan di bawah umur 40 tahun, malah ada sebahagian pesakit berumur 20-an disebabkan tabiat pemakanan, interaksi kompleks kecenderungan genetik dan faktor gaya hidup.

“Mitos masyarakat bahawa hipertensi hanya melibatkan golongan berusia adalah tanggapan salah dan berbahaya kerana ia menyebabkan ramai orang muda percaya mereka tidak berisiko, sekali gus menyebabkan pengabaian dan diagnosis lewat,” katanya.

Jelas Jolene, hipertensi adalah keadaan kronik menyaksikan kekuatan tekanan darah pada dinding arteri tinggi secara berterusan pada atau lebih 140/90mmHg.

Katanya, ia juga disahkan melalui bacaan diambil sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali pengukuran secara berasingan. Bagaimanapun, pakar perubatan menganggap bacaan tekanan darah dalam julat 130 hingga 139mmHg sistolik dan 85 hingga 89mmHg diastolik sudah berisiko.

“Individu yang mempunyai tekanan darah dalam julat ini perlu pantau tekanan darah mereka dengan teliti dan membuat perubahan gaya hidup bagi membantu menurunkan tekanan darah,” katanya.

Katanya, gejala seperti sakit kepala, pening, sesak nafas, sakit dada dan hidung berdarah menandakan seseorang menghidap hipertensi.

Jelas Jolene, jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi lebih teruk seperti serangan dan kegagalan jantung, degupan jantung tidak teratur, strok, kegagalan buah pinggang dan hilang penglihatan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengawal pengambilan natrium harian di bawah 2,000 miligram sehari bersamaan satu sudu teh.

“Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap hipertensi atau penyakit jantung harus pantau tekanan darah dengan kerap di rumah kerana pengesanan awal kunci menguruskan keadaan dengan berkesan.

“Makan makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurangkan pengambilan garam dan alkohol, tidak merokok, kekal aktif dengan senaman yang kerap dan mengekalkan berat badan yang ideal adalah langkah pencegahan utama,” katanya.

Beliau menolak mitos mendakwa pengambilan ubat untuk tempoh jangka panjang membahayakan dan menyebabkan kegagalan buah pinggang pesakit.

“Pemikiran ini berbahaya, kerana semua ubat-ubatan diuji secara saintifik dan ditetapkan pada dos yang selamat di bawah pengawasan doktor pesakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×