Latih anak berpuasa secara santai

Latih anak berpuasa secara santai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah ibadah berpuasa, sebaiknya ditanam sejak anak-anak kecil lagi supaya mereka memahami kepentingannya.

Namun ibu bapa perlu memastikan pendidikan dan pemahaman mengenai ibadah berpuasa dijalankan secara santai dan tidak memaksa anak sehingga menyebabkan anak-anak merasa tertekan.

Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, sebelum melatih anak berpuasa, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak ke majlis ilmu bagi penerapan nilai murni secara spiritual dan emosional.

“Biarlah anak-anak kecil berasa gembira atau puasa secara olok-olok dahulu. Lebih penting, mereka menghayati nilai-nilai puasa iaitu sabar, jujur dan bercakap benar.

“Ibu bapa boleh menggunakan pendekatan latihan berpuasa, dimulakan seawal usia dua tahun dengan bercerita mengenai keindahan Ramadan dan kegembiraan ketika berbuka.

“Latihan bertahap mengikut umur juga boleh dilakukan dengan berpuasa beberapa jam sehari bagi anak berusia lima hingga tujuh tahun, “katanya.

Katanya, anak-anak akan merasa keliru jika dipaksa berpuasa tanpa penjelasan dan persediaan mental sejak awal lagi. Paksaan tidak digalakkan jika benar-benar mahu mendidik anak-anak.

Elemen mengajak perlu ditekankan berbanding memaksa.

Pada masa sama, melatih anak berpuasa meninggalkan kesan dari sudut psikologi di mana ia secara tidak langsung dapat mematangkan emosi dan intelektual mereka menerusi amalan sahsiah dan kerohanian. Malah anak-anak akan merasa kebersamaan meskipun mereka masih kecil.

Ibu bapa boleh membantu anak mengatasi rasa lapar dan dahaga semasa berpuasa tanpa menyebabkan tekanan dengan memastikan hidangan sahur dan berbuka berasaskan konsep sihat.

Ini boleh dilakukan dengan pengambilan nutrien yang disyorkan (RNI) iaitu suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayuran dan buah-buahan.

“Pastikan anak-anak mengambil sahur selewat mungkin sebagai sumber tenaga daripada makanan terdiri dari karbohidrat, protein dan juga lemak.

“Jika tidak mahu mengambil nasi pastikan anak mengambil sumber karbohidrat lain seperti roti, spaghetti, bihun bersama protein dan serat. Lebih sempurna jika dinikmati dengan segelas susu dan kurma sebagai penambah tenaga, ” katanya.

Katanya, mungkin ada ibu bapa menyangka makanan atau minuman manis membekal tenaga. Sebenarnya ia hanya membuat anak-anak teringin manisan itu sewaktu berpuasa dan ia tidak membekalkan banyak tenaga.

Sebaiknya, berikan anak makanan yang lambat hadam seperti oat, makanan tinggi fiber dan bijirin atau beras perang.

Jika dilihat cadangan usia mula berlatih puasa pada usia tujuh tahun.

Sumber nutrisi daripada pemakanan berkhasiat sangat penting dalam tumbesaran kanak-kanak berusia satu sehingga dua tahun.

“Namun harus diingat, Islam tidak mewajibkan anak-anak dalam usia ini untuk berpuasa. Ibu bapa perlu memberikan kelonggaran untuk anak berbuka sekiranya mereka tidak tahan tanpa perlu menimbulkan suasana tidak sihat seperti memarahi, mengejek atau mengasingkan kanak-kanak itu,” katanya.

Membenarkan anak mencuba berpuasa sebenarnya memberi peluang anak merasa dirinya sebahagian daripada pengalaman Ramadan yang unik. Namun ia perlu dilakukan dengan santai dan tidak melibatkan tekanan emosi, psikologi atau fizikal kepada anak-anak.

Sebaliknya, katanya wujudkan suasana positif dan bahagia bersama anak kecil sepanjang Ramadan. Pendekatan terbaik adalah melalui tauladan dan memberi kefahaman kepada anak-anak berkaitan ibadah puasa.

“Antara strategi psikologi yang boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran anak terhadap tujuan berpuasa, adalah dengan memujuk dan memberi berbanding memberi arahan tanpa memberikan kefahaman kepada anak-anak.

“Dalam erti kata lain, mengajak bukan mendesak. Bercakap dengan nada suara yang baik dan harmoni. Dengar pendapat dan kesediaan mereka mengenai ibadah puasa, “katanya.

Katanya lagi, ibu bapa tidak perlu menghukum anak-anak di peringkat latihan berpuasa. Latih anak-anak secara berperingkat tanpa kekerasan. Mulakan dengan latihan tidur awal dan bangun awal.

GANJARAN SPIRITUAL

Ibu bapa boleh memberi ganjaran positif tanpa menjadikan berpuasa sebagai paksaan kepada anak-anak. Ganjaran spiritual menerusi pujian, perhatian dan ucapan positif yang menyenangkan hati boleh meningkatkan minat dan keyakinan diri anak-anak untuk berpuasa.

Ganjaran secara fizikal iaitu hadiah tertentu yang munasabah untuk menarik minat anak boleh diberikan. Bagaimanapun, ganjaran ini sebaiknya tidak keterlaluan tetapi sekadar menyuntik semangat anak-anak saja.

Ganjaran dalam bentuk emosi boleh diberikan dengan memberi perhatian dan melayan kehendak anak-anak ketika bersahur atau berbuka puasa. Layanan istimewa yang diberikan oleh ibu bapa adalah momen indah buat mereka.

“Sediakan juadah berbuka kegemaran anak. Jika dia memilih untuk makan nasi goreng ayam dan milo ais, sediakan makanan itu ketika berbuka. Barulah anak-anak bersemangat untuk terus puasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×