Kehamilan adalah anugerah istimewa bagi pasangan yang berkahwin, menandakan permulaan sebuah perjalanan baharu dalam kehidupan. Sepanjang kehamilan, tubuh ibu mengalami pelbagai perubahan yang kadangkala menimbulkan ketidakselesaan seperti loya, muntah, dan sembelit.
Selain itu, terdapat risiko masalah kesihatan seperti anemia akibat kekurangan zat besi dan diabetes kehamilan (GDM), yang memerlukan perhatian khusus. Masalah ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk persediaan sebelum hamil yang kurang mencukupi, tindak balas tubuh terhadap perubahan hormon, atau sejarah kesihatan keluarga.
Justeru, pemeriksaan berkala amat penting untuk memantau kesihatan ibu dan memastikan bayi berkembang sihat, menjamin kelahiran yang selamat dan sejahtera.
Buku pink merupakan dokumen penting yang tidak asing lagi bagi ibu hamil yang mendapatkan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA). Diibaratkan sebagai ‘pasport kehamilan’, buku ini memainkan peranan besar bukan sahaja semasa kehamilan, tetapi juga selepas kelahiran hingga anak memasuki alam persekolahan.
Secara rasmi dikenali sebagai Buku Rekod Kesihatan Ibu, dokumen ini mengandungi maklumat terperinci mengenai ibu, termasuk sejarah kehamilan, faktor risiko yang dikenalpasti, serta data kesihatan penting yang memberikan gambaran menyeluruh tentang kesejahteraan ibu dan bayi. Ia menjadi rujukan utama sepanjang tempoh kehamilan, memastikan ibu dan bayi sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Penggunaannya yang seragam di semua fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia menjadikannya alat utama dalam pengurusan kesihatan ibu yang lebih sistematik dan efisien.
Selain itu, buku pink memudahkan pegawai kesihatan memantau perkembangan kesihatan ibu dan bayi secara konsisten.
Sekiranya timbul komplikasi seperti anemia atau tekanan darah tinggi, langkah intervensi dapat diambil dengan segera. Buku ini juga berfungsi sebagai dokumen rujukan yang lengkap sekiranya ibu memerlukan rawatan di hospital atau klinik lain, memastikan rawatan yang diberikan lebih tepat dan berkesan berdasarkan rekod kesihatan yang telah direkodkan.
Buku pink adalah elemen penting dalam memastikan penjagaan antenatal yang lengkap dan menyeluruh. Oleh itu, mendaftar awal di Klinik Kesihatan berhampiran adalah langkah penting bagi setiap ibu hamil untuk memastikan pemeriksaan kesihatan dapat dilakukan dengan mudah dan masalah kesihatan dapat dikesan lebih awal. Namun, terdapat salah tanggapan yang masih membelenggu segelintir masyarakat.
Ada yang percaya bahawa perkhidmatan di KKIA hanya tersedia untuk pasangan berkahwin, sedangkan rawatan ini terbuka kepada semua ibu hamil tanpa mengira status perkahwinan. Salah
faham ini sering menyebabkan golongan seperti ibu hamil luar nikah mengelak daripada mendapatkan rawatan yang diperlukan.
Selain itu, kekeliruan tentang bayaran perkhidmatan di KKIA turut menjadi penghalang bagi ibu hamil yang kurang berkemampuan. Persepsi sebegini perlu diperbetulkan kerana ia bukan sahaja membatasi akses kepada penjagaan kesihatan, tetapi juga meningkatkan risiko komplikasi serius yang boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi. Dengan kesedaran dan penjelasan yang tepat, lebih ramai ibu hamil dapat memanfaatkan perkhidmatan KKIA untuk kesejahteraan diri dan anak yang bakal dilahirkan.
Ibu bapa memiliki kebebasan untuk memilih lokasi pemeriksaan kehamilan, sama ada di hospital atau klinik kerajaan, mahupun fasiliti swasta, asalkan ia dikendalikan oleh pengamal perubatan yang bertauliah dan berdaftar. Pilihan ini dibuat dengan satu matlamat utama: memastikan kesihatan ibu dan bayi sentiasa dalam keadaan terbaik.
Menariknya, buku pink atau Buku Rekod Kesihatan Ibu turut diterima pakai di fasiliti swasta dengan fungsi yang sama. Buku ini menjadi rujukan penting dalam memastikan ibu hamil mendapat pemantauan kesihatan yang konsisten, selain memastikan bayi dalam kandungan berkembang dengan sihat sepanjang tempoh kehamilan. Dengan keseragaman ini, proses penjagaan kehamilan menjadi lebih efisien dan teratur, tidak kira di mana lokasi pemeriksaan dijalankan.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan setiap ibu hamil menerima pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya sepanjang tempoh kehamilan.
Bagi golongan yang kurang berkemampuan atau kurang pendedahan tentang akses kepada perkhidmatan kesihatan, peranan orang sekeliling dalam memberikan kesedaran dan sokongan amatlah penting. Pengalaman kehamilan, yang sepatutnya menjadi detik indah dalam kehidupan seorang ibu, tidak seharusnya bertukar menjadi episod duka.
Dengan pelbagai perubahan fizikal dan emosi yang sememangnya menjadi cabaran buat ibu hamil, kita tidak sewajarnya menambah tekanan kepada mereka. Sebaliknya, hulurkanlah sokongan yang mencukupi sama ada dari aspek fizikal, emosi, mahupun mental demi memastikan kesejahteraan ibu terpelihara dan bayi yang dilahirkan mendapat permulaan hidup yang terbaik.- UTUSAN











