PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Ziana Zain terbuka untuk merakamkan lagu raya baharu meskipun mengakui lagu raya masa kini kurang menyengat seperti lagu-lagu raya terdahulu.
Ziana atau Siti Roziana Zain, 58, berkata, beliau terbuka untuk mencuba sekiranya menerima tawaran lagu raya yang bersesuaian dan mempunyai kualitinya tersendiri.
“Kalau ada lagu raya baharu, kita akan rakam, kita tengok macam mana kerana rezeki kita tidak tahu, mungkin kita dapat lagu raya yang bagus.
“Apabila ada lagu raya baharu, sengatnya tidak sama seperti lagu-lagu lama, tetapi kita cuba dahulu, mengapa tidak?” katanya ketika ditemui semasa sidang media Konsert Sooka dan Konsert Vaganza, di Seri Pasific Hotel, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Tambah Ziana, meskipun lagu raya baharu mungkin tidak menepati cita rasa sesetengah pendengar, karya sedemikian tetap perlu diberi peluang dan perlu diterima seiring perkembangan muzik semasa.
“Jangan terus kata tidak boleh. Kita perlu ikut perkembangan semasa dan bersikap terbuka,” katanya.
Untuk rekod, Ziana mempunyai sekitar 9 hingga 10 buah lagu raya secara keseluruhan, merangkumi lagu solo, lagu duet serta rakaman semula lagu klasik dalam beberapa album kompilasi Aidilfitri.
Antara lagu raya beliau yang paling popular dan menjadi siulan ramai setiap kali Syawal ialah Indah Di Hari Raya, Halaman Asmara, Sensasi Hari Raya dan Hari Mulia Ini. – UTUSAN











