KUALA LUMPUR – Sering kali dikaitkan dengan penyanyi bersuara emas, Ziana Zain yang telah menjadi ibu tunggal, pengacara penuh kontroversi, Azwan Ali mahu spekulasi hubungan cinta antara mereka dinoktahkan segera.
Bukan menolak atau rimas dengan usaha peminat ‘menjodohkan’ mereka, jelas Azwan, dia sebagai rakan perlu menghormati Ziana dan tidak mahu gosip sedemikian merosakkan hubungan baik mereka selama ini.
“Kepada ‘mulut puaka’ di luar sana, tolonglah jangan jodohkan saya dengan Ziana. Mentang-mentang dia sudah single. Kau orang boleh jaga tepi kain sendiri tak?
“Kalau aku kahwin dengan Ziana pun apa masalah kau? Mungkin aku akan kahwin dengan Ziana. Mungkin kejap lagi. Pukul 3 pagi aku jumpa tok kadi nikah terus,” selorohnya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Azwan sebelum ini pernah mendedahkan cintanya pernah ditolak penyanyi Madah Berhelah itu semasa awal perkenalan mereka.
Sementara itu, Azwan yang kekal bangga dengan Ziana sebagai rakan seperjuangan menegaskan, tiada lagi istilah cinta antara mereka dan dia sendiri menghormati apa sahaja episod hitam yang pernah dilalui penyanyi itu.
“Ziana sendiri cakap dengan saya; Diknon (panggilan Ziana kepada Azwan), biarkan apa sahaja orang cakap pasal kita. Apa yang penting, kita tahu apa sebenarnya.
“Saya hormat dia. Keluarga dia pun saya rapat. Kami selesa sekadar berkawan sahaja,” jelas Azwan. – UTUSAN










