SETIAP kali Syawal menjelang, kita disajikan dengan deretan lagu raya baharu yang bersaing untuk mendapat tempat di hati pendengar. Tahun 2025 menyaksikan fenomena yang sama di mana artis-artis berlumba-lumba mencipta lagu raya dengan melodi rancak, lirik yang menarik dan mudah dihafal, serta muzik video yang meriah dan berwarna-warni. Lagu-lagu ini begitu mendominasi platform penstriman dan media sosial sejak awal Ramadan lagi. Namun, di sebalik irama rancak dan klip video penuh glamor, timbul satu persoalan yang semakin sukar untuk diabaikan. Di manakah roh Aidilfitri yang sebenar dalam lagu-lagu raya moden ini?
Aidilfitri berasal daripada kata fitrah yang merujuk kepada penyucian diri dan kembalinya insan kepada keadaan asal yang bersih daripada dosa. Ia bukan sekadar satu perayaan sosial.
Namun, apakah fitrah yang cuba ditonjolkan jika lagu-lagu raya masa kini hanya menekankan citra duniawi dan luaran semata-mata?
Lirik-liriknya sering kali menampilkan naratif cetek berkisar tentang keghairahan membeli belah, perjalanan pulang ke kampung, kecoh memasak di dapur, atau sekadar keriuhan beraya di rumah terbuka, tanpa menyentuh aspek kerohanian yang sepatutnya menjadi intipati Syawal.
Lebih membimbangkan, lirik lagu-lagu raya moden semakin mengabaikan unsur kesyukuran kepada Ilahi dan lebih tertumpu kepada kemeriahan luaran berbanding penghargaan terhadap ibadah yang telah dilalui sepanjang Ramadan.
Jika lagu-lagu klasik seperti Selamat Hari Raya, Suasana Hari Raya atau Dendang Perantau masih menyelitkan nilai kebersamaan, kesederhanaan, serta penghargaan terhadap nikmat Syawal dalam konteks kekeluargaan, lagu-lagu baharu pula lebih cenderung kepada aspek materialistik dan hiburan kosong.
Perayaan Aidilfitri, yang seharusnya menjadi refleksi kemenangan spiritual, kini semakin dibayangi oleh budaya popular yang mengutamakan hedonisme dan keseronokan semata-mata.
Seharusnya, lagu raya bukan hanya sekadar sedap di telinga, tetapi juga mampu menyentuh jiwa. Liriknya patut mengandungi unsur kesyukuran, mengingatkan kita kepada makna Ramadan, dan mengajak kepada penghayatan nilai Islam yang sebenar.
Lagu-lagu raya moden tidak sepatutnya hanya menjadi sebuah lagu yang sekadar tular seketika, mencetuskan trend-trend tertentu di media sosial, tetapi segera dilupakan apabila Syawal berlalu. Ia sepatutnya menjadi lagu-lagu yang malar segar, mengesankan, dan, mengangkat nilai ibadah yang menjadi jiwa Aidilfitri.
Perang lagu raya moden ini menunjukkan betapa industri muzik kita telah tersasar dalam memahami makna sebenar Syawal. Sudah-sudahlah mengejar ketularan sesaat di media sosial. Sudah tiba masanya para pencipta lagu kembali kepada perkara-perkara asas, seperti menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi kesan kepada jiwa pendengar. Hadirkanlah lebih banyak lagu raya yang menampilkan pujian kepada Ilahi, penghargaan kepada Ramadan yang berlalu, serta penekanan kepada nilai kebersamaan dan keikhlasan dalam menyambut Syawal.
Aidilfitri bukan sekadar satu pesta tahunan, tetapi sebuah perayaan kemenangan rohani.
Jika lagu raya tidak mampu menyampaikan makna ini, maka ia hanyalah sekadar hiburan kosong yang akhirnya akan berlalu seperti angin, tanpa meninggalkan sedetik makna pun dalam hati kita.
Semoga kita kembali kepada fitrah, bukan hanya kepada sebuah pesta euforia. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak










