Runtuh rumah agam RM3.2 juta kerana silap perancangan

Runtuh rumah agam RM3.2 juta kerana silap perancangan

INILAH kediaman pasangan David dan Dawn Allan yang terpaksa diruntuhkan. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EDINBURGH: Sepasang suami isteri mungkin terpaksa meruntuhkan rumah agam mereka bernilai £600,000 (RM3.2 juta) kerana ‘kesilapan’ undang-undang perancangan.

Menurut laporan Mirror, David dan Dawn Allan boleh dipaksa merobohkan vila impian mereka di Gorebridge, Midlothian, Scotland, selepas melanggar undang-undang perancangan pihak berkuasa tempatan.

Pasangan itu memohon kebenaran untuk pembangunan rumah agam itu pada 2018 selepas meratakan bangunan sedia ada di tapak tersebut.

Mereka mengemukakan rancangan kepada Majlis Midlothian dan memulakan kerja pembinaan selepas diberi waran bangunan.

Tetapi mereka dikejutkan apabila perancangan retrospektif bangunan ditolak dan Majlis Midlothian memberitahu bahawa waran itu dikeluarkan secara silap.

Pegawai majlis seterusnya mengatakan bahawa bumbung ‘berpinggul’ di bahagian atas garaj ‘memudaratkan’ kawasan tempatan dan harus dibuang.

Pasangan itu bagaimanapun merayu masa tambahan untuk menyelesaikan masalah dengan rumah baharu mereka, sebaliknya diberikan notis penguatkuasaan.

Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada mereka bahawa mereka perlu membuat perubahan pada rumah itu, atau merobohkan harta itu menjelang musim panas.

Dalam rayuan terakhir, pasangan itu berharap dapat menyelesaikan masalah tersebut termasuk beralih rayuan kepada kerajaan Scotland.

Tetapi mereka diberitahu bahawa sudah terlepas tarikh akhir dan tiada apa yang boleh dilakukan.

Pasangan itu berkata, mereka membelanjakan lebih daripada £100,000 (RM531,300) untuk mengubah rancangan, walaupun sudah membelanjakan £16,000 (RM85,009) dalam yuran permohonan rayuan mereka sekarang.

Dalam surat kepada kerajaan Scotland, pasangan itu menjelaskan bagaimana perjuangan mereka untuk menyelamatkan rumah impian itu selain turut menjejaskan kesihatannya.

Jurucakap Majlis Midlothian berkata, pihaknya sudah menyampaikan notis penguatkuasaan pada 18 November kerana bangunan itu tidak mematuhi pelan yang diluluskan.

“Kami secara rasmi membangkitkan isu kerja tanpa kebenaran dengan ejen perancang pemilik pada Februari lalu dan memberi masa kepada pemilik untuk secara sukarela membuat perubahan yang diperlukan.

“Pemilik mempunyai pilihan sama ada untuk membuat perubahan itu pada 20 April atau merobohkan bangunan itu pada 20 Jun ini,” kata jurucakap berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.