Kam sinonim Tahun Baru Cina - Utusan Malaysia

Kam sinonim Tahun Baru Cina

Tian Soon memeriksa pokok buah limau kasturi di kedai tapak hiasan bunga miliknya di Batu 6, Jalan Kuala Pilah, Seremban, baru-baru ini. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG sambutan Tahun Baru Cina, sudah tentu pelbagai persiapan dilakukan masyarakat Tionghua meraikan hari itu. Walaupun sambutannya diraikan dalam norma baharu ekoran penularan pandemik Covid-19 ketika ini, kemeriahan itu tetap dirasai.

Sungguhpun sambutan dijangka berlangsung penuh sederhana namun ia tidak menghalang masyarakat Cina untuk memasang hiasan rumah sebelum perayaan tersebut. Apatah lagi setiap satu hiasan itu, memiliki maksud tersendiri.

Selain tanglung merah, riben dan kertas perhiasan berwarna merah, pokok limau hiasan juga antara yang menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat Cina. Ia biasanya diletakkan di dalam rumah masing-masing semasa Tahun Baru Cina.

Tian Soon merapikan pokok buah limau kasturi. Pokok ini dianggap sebagai simbol kekayaan dan keuntungan.

Dalam bahasa Kantonis pokok limau dipanggil ‘kam’ yang membawa maksud emas selain simbol kekayaan serta keuntungan.

Mengikut kepercayaan masyarakat Cina juga, pokok limau ini akan mendatangkan lebih banyak keuntungan, rezeki dan kekayaan melimpah-ruah.

Pengurus Seremban Landscape & Nursery, Nixon Lau Tian Soon berkata, walaupun sambutan tahun ini dibayangi dengan penularan pandemik Covid-19 dan dilihat hanya disambut sederhana, permintaan terhadap pokok limau hiasan tetap tinggi.

TEMPAHAN
Katanya kepada Utusan Malaysia, tahun ini pihaknya menerima tempahan kira-kira seribu pokok limau kasturi bersaiz kecil dan kira-kira 200 pokok yang bersaiz sedikit besar. Walaupun jumlah tersebut berkurangan hampir tiga kali ganda berbanding tahun-tahun sebelum ini, bagaimanapun jumlah tersebut masih lagi besar bagi memenuhi permintaan dalam kalangan pelanggan tetapnya di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Lembah Kelang.

“Masih ada banyak permintaan untuk pokok limau hiasan ini dalam kalangan masyarakat Cina walaupun tahun baru kali ini hanya akan disambut secara sederhana. Pokok yang ditempah pelanggan akan saya hantar bermula dua minggu sebelum perayaan.

“Saya akui memang jumlahnya sedikit merosot. Di mana sebelum ini kebanyakan yang menempah adalah restoran dan premis perniagaan. Justeru permintaan pokok limau tahun ini banyak datangnya daripada pelanggan-pelanggan tetap saya sahaja,” katanya.

Tian Soon, memperoleh pokok limau kasturi daripada pembekal tempatan dan luar negara. Antaranya di Tapah, Perak. Malah dia juga ada menjual pokok limau kasturi dan limau tangerine diimport dari negara China.

SEHINGGA RM1,400
Ujarnya, setiap pokok limau hiasan dijual pada harga antara RM80 sehingga RM1,400 berdasarkan saiz dan usia.

“Kebanyakan pokok limau hiasan di sini merupakan jenis limau kasturi yang kami peroleh daripada peladang di Tapah, Perak. Harganya bermula RM80.

“Bagi pokok limau hiasan yang lebih mahal tentunya yang diimport dari China iaitu jenis limau tangerine. Pokok dan buahnya lebih besar dan harganya boleh mencecah sehingga RM1,400 sepokok,” katanya.

Tahun ini beliau hanya membawa masuk kira-kira 10 batang pokok limau hiasan berbanding 40 pokok sebelum ini.

Bagi mendapat sebatang pokok limau cantik dengan buah berwarna jingga keemasan, memerlukan penjagaan rapi kerana ia disediakan khusus meraikan Tahun Baru Cina.

“Pokok memang kena dijaga dengan rapi untuk dijual pada musim perayaan. Ia tidak ditemui dijual pada masa-masa yang lain,” katanya.

Beliau menjaga pokok ini hampir setengah tahun sebelum dijual kepada pelanggan. Tian Soo perlu memastikan pokok dibentuk seperti diingini pembeli.

“Jika pokok limau bersaiz sederhana dengan buah yang berwarna jingga keemasan itu ia sudah berusia kira-kira enam bulan.

“Buahnya memang sudah ranum, namun untuk mendapatkan pokok cantik ia perlu sentiasa dijaga, dibajai dan diberi racun tanaman dengan betul. Aspek ini amat mustahak kerana jika tidak cantik, orang tidak akan membelinya,” katanya.

Rata-rata pokok limau hiasan boleh bertahan sehingga dua bulan lagi di tangan pelanggan, sebelum buahnya mulai kecut dan gugur.

“Bila sudah gugur, pelanggan perlu menukar pasu kerana akarnya sudah penuh. Apabila sudah dialihkan ke dalam pasu yang baharu, kemudian ia akan mengeluarkan daun yang baharu. Waktu ini baja dan racun macam biasa dan kemudian pasti ia akan mengeluarkan buah yang baharu,” katanya.

Di negara ini, kebiasannya pokok limau hiasan tempatan terdiri daripada tiga jenis iaitu limau kasturi, kum quat dan naga.

Jenis naga agak manja dan kadangkala tidak mengeluarkan buah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN