SHAH ALAM: Aurum79 Sdn. Bhd. menerusi jenama AurumLX menyasarkan untuk menjadikan pemilikan emas sebagai budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dengan aspirasi setiap keluarga memiliki sekurang-kurangnya satu gram emas sebelum membina simpanan sehingga mencecah satu kilogram (kg).
Pengarah Eksekutif AurumLX, Muhamad Afif Mohamad berkata, inisiatif itu bukan bertujuan menggalakkan orang ramai membeli emas semata-mata, sebaliknya memupuk tabiat menyimpan aset bernilai secara konsisten mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau berkata, tanggapan bahawa emas hanya mampu dimiliki golongan berpendapatan tinggi perlu diubah kerana orang ramai kini boleh memulakan simpanan dengan nilai serendah RM10 sebelum meningkatkan pegangan secara berperingkat.
“Hasrat kami ialah melihat setiap keluarga memiliki sekurang-kurangnya satu gram emas sebagai permulaan. Apabila amalan itu diteruskan secara konsisten, sasaran untuk mengumpulkan sehingga satu kilogram emas pada masa depan bukan lagi sesuatu yang mustahil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pengiktirafan Syariah dan Penyerahan Sijil Kecekapan Pematuhan Pengukuran Ketulenan Emas oleh National Metrology Institute of Malaysia (NMIM), di sini, hari ini.

Turut hadir Penasihat Syariah Aurum79 Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh.
Afif berkata, bagi merealisasikan matlamat tersebut, AurumLX membangunkan platform digital yang membolehkan pelanggan membeli, menyimpan dan mengurus emas fizikal pada bila-bila masa tanpa memerlukan modal permulaan yang besar.
Menurutnya, syarikat turut memberi tumpuan terhadap aspek kualiti dan ketulenan setiap produk dengan memastikan semua emas yang ditawarkan memenuhi piawaian tinggi serta diyakini pengguna.
“Kami memberi penekanan kepada aspek kualiti emas. Sebab itu kami bekerjasama dengan NMIM bagi memperkukuhkan kompetensi dalam pengesahan ketulenan emas. Kepercayaan pelanggan perlu dibina melalui pematuhan terhadap standard yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, AurumLX juga menjalinkan kerjasama dengan SIRIM bagi memastikan setiap gram emas memenuhi piawaian dari segi mutu dan berat, selain merancang menubuhkan makmal pengujian emas sendiri pada masa depan bagi memperkukuhkan proses pengesahan ketulenan.
Selain itu, katanya, syarikat turut memperhebat usaha mendidik masyarakat mengenai konsep pemilikan emas yang sebenar supaya pengguna tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang meragukan.
“Setiap pelaburan memang ada risikonya. Jadi kalau ada syarikat yang memberi jaminan 100 peratus dan menjanjikan keuntungan, itu sudah menjadi satu ‘red flag’ yang perlu diberi perhatian serta tidak mendedahkan diri kepada penipuan,” katanya. – UTUSAN










