KOTA TINGGI : Seorang wanita berputih mata setelah mengalami kerugian RM119,599 akibat terpedaya skim pelaburan tidak wujud di Facebook, bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa berusia 58 tahun itu mendakwa ditipu pelaburan tersebut sebelum membuat laporan polis semalam.
Katanya, kejadian itu bermula apabila mangsa melihat iklan pelaburan XM Royal pada 19 Julai lalu yang menawarkan pulangan pelaburan yang tinggi dalam tempoh yang singkat.
“Modus operandi sindiket skim pelaburan ini menawarkan pakej pelaburan serendah RM300 dan dijanjikan menerima pulangan sebanyak RM15,000 dalam tempoh dua jam.
“Tertarik dengan pelaburan itu, mangsa kemudian membuat penambahan pembayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM119,599.24,” katanya dalam kenyataan .
Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu apabila mahu mendapatkan keuntungan hasil pelaburannya seperti dijanjikan tetapi disekat.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dalam masa singkat.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN










