Oleh LAUPA JUNUS
[email protected]
Alam menjadi pelantar dan persekitaran yang menjadi ekosistem dalam kehidupan manusia, maka kelestarian alam menjadi pelengkap kepada kehidupan tersebut. Begitu juga bahasa sebagai instrumen komunikasi sesama kehidupan terutama antara kalangan manusia.
Bahasa yang indah dan kata-kata yang cantik memberi impak dalam kehidupan manusia kerana bukan sekadar satu bentuk penyampaian, tetapi lambang jati diri dan kepribadian bangsa.
Demikian bahasa dan alam saling berhubung kait dan menjadi pelengkap antara satu sama lain.
Maka, apa lagi yang lebih bermakna apabila mengungkapkan kehidupan dengan alam dan kelestarian yang digabung jalin bersama keindahan kata-kata supaya lebih bermakna bagi mencipta suasana harmoni.
Dua elemen penting dalam kehidupan ini benar-benar mempunyai nilai dan makna yang tinggi dalam konteks memelihara leluhur manusia berlatar belakang alam dan hutan serta bahasa sebagai medium berkomunikasi yang indah.
Inisiatif bersama Dewan Bahasa dan dan Pustaka (DBP) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang menganjurkan Majlis Apresiasi Sastera dan Penyampaian Hadiah Sayembara Anekdot merupakan program ibarat melangkah sederap ke arah melestarikan keindahan alam dan kemurnian bahasa.
Program yang diadakan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 itu melibatkan penyertaan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NG0). DMK dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari 2020.
Kempen itu merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan untuk memberikan impak terhadap peningkatan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Usaha untuk menggalakkan masyarakat Malaysia untuk membaca sudah dimulakan sejak 1972 anjuran DBP. Usaha tersebut dinamakan sebagai Gerakan Membaca yang juga merupakan salah satu projek anjuran DBP.
Gerakan Membaca merupakan projek rintis untuk membangun masyarakat yang berilmu.
Bagi menggerakkan DMK peringkat DBP pada 2025 secara meluas, penglibatan Bahagian, Jabatan, Cawangan dan Wilayah di DBP serta pelbagai kelompok sektor diperlukan untuk melaksanakan program DMK secara agresif, kreatif dan inklusif.
Objektif penganjuran sayembara anekdot bertujuan membina kreativiti dan mengasah bakat peserta dalam penulisan kreatif.
Sayembara tersebut juga bertujuan meningkatkan minat peserta dalam kalangan NGO terhadap penulisan kreatif, serta menyemai semangat kebersamaan melalui perkongsian pengalaman dan kisah hidup serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai wahana penyampaian cerita, mesej dan nilai kehidupan.
Sayembara menulis anekdot bertemakan Membaca dan Alam itu membabitkan kedua-dua agensi menerima sebanyak 106 penyertaan daripada ahli 53 NGO.
Kerjasama antara kedua kedua pihak bukan baharu dalam usaha memartabatkan bidang penulisan ilmu, pendokumentasian dan penerbitan.
Seperti kata Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, bahawa kerjasama tersebut bukan baharu dalam konteks melestarikan alam dan bahasa.
Kata beliau, tanpa alam kita tidak dapat berkarya maka kita perlu menghargai alam, begitu juga bahasa yang perlu dilestari dan dipupuk penggunaannya.
“Alam (sebagai) guru, sebagai sumber ilmu, wajib dimanfaatkan dalam penulisan maka, kata-kata itu menjadi ilham untuk dimasukkan dalam penulisan, justeru kita perlu menghargai alam untuk mengungkapkan kepentingannya kepada manusia sebagai penghuni,” ujar beliau semasa menyampaikan kata-kata aluan dalam program tersebut di Kepong, baru-baru ini.
Namun katanya, penulisan yang dihasilkan daripada ilham bukan sekadar bercakap sesuatu tentang perasaan, tetapi perlu ada tanggungjawab dalam melestarikan alam dan memartabatkan bahasa.
Ungkapnya secara ringkas lagi, tanpa bahasa dan sastera kehidupan manusia akan terencat.
Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Dr. Norwati Muhammad lebih optimis supaya pertandingan bacaan anekdot itu tidak dilihat sekadar wadah menyalakan obor semangat dalam memartabatkan bahasa serta melestarikan alam tetapi mentermahkan fungsi dan peranan kedua-dua agensi masing-masing.
“Berdaun pada ilmu dan berbuah pada manfaat,” ujarnya penuh makna sambil memberitahu peranan FRIM mendukung memartabatkan bahasa, bergerak selangkah seiringan dengan peranan DBP sebagai benteng memartabatkan bahasa.
Beliau juga mengakui kerjasama antara kedua dua pihak bukannya baharu, sebaliknya sudah dimeterai pada April lalu berkaitan bidang penyelidikan, dan pendokumentasian.
“FRIM sedia bekerjasama dalam hal ilmu kelestarian alam dengan mana-mana pihak,” katanya.
Norwati turut menyeru supaya penulis menghasilkan karya dengan niat murni supaya menjadi penyuluh jalan kepada insan lain dan penjaga alam demi kelestarian dan usaha memartabatkan warisan bangsa supaya bumi terus lestari.
Pengerusi Jawatankuasa Panel Penilai sayembara berkenaan, Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Rahman Shaari berkata, secara keseluruhannya penyertaan dalam sayembara anekdot itu menggalakkan.
“Kemenangan mereka adalah wajar sejajar dengan latar belakang peserta,” katanya.
Beliau menjelaskan anekdot adalah kata-kata ringkas bagi pengertian masyarakat umum yang panjangnya lebih kurang 200 patah perkataan, tetapi kalangan sasterawan atau penulis menghasilkan kata-kata ringkas itu dengan menambah bahasa berbunga dan penuh bersimbolik.
“Ada kesungguhannya (penghasilan) anekdot ini tidak seperti cerpen yang lebih serius,” ujarnya. _ MINGGUAN MALAYSIA










